Umat Islam dari seluruh dunia sudah mula membuat perjalanan ke Mina pada 14 Jun (8 Zulhijah) bertepatan dengan Hari Tarwiyah, sebelum ke Padang Arafah untuk berwuquf, iaitu kemuncak ibadah haji, pada 15 Jun (9 Zulhijah).
Sementara itu, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), berkata rombongan haji Singapura, seramai 900 anggota jemaah, pula merupakan antara yang bertolak secara berperingkat ke Arafah sekitar 4:30 petang waktu Arab Saudi pada 14 Jun.
Tarwiyah merupakan suatu proses ibadah haji yang dilakukan pada 8 Zulhijah, sebelum wuquf di Padang Arafah.
Tarwiyah dilakukan jemaah dengan cara meninggalkan Makkah menuju Mina dengan berpakaian ihram dan berniat untuk menunaikan ibadah haji.
Umat Islam yang melaksanakan ibadah haji pada 2024 bakal berdepan dengan cabaran cuaca panas semasa hari wuquf dan ketika berada di Muzdalifah dan Mina nanti.
Berdasarkan ramalan cuaca dan amaran Kementerian Kesihatan Arab Saudi, suhu di hari wuquf pada 9 Zulhijah dianggar mampu mencecah sehingga 50 darjah Celsius, iaitu kemuncak musim panas di negara itu pada 2024.
Justeru, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga Ketua delegasi Haji Singapura 2024, menasihatkan jemaah Singapura tentang kepentingan menjaga kesihatan mereka dengan meminum air di tengah-tengah cuaca panas di sana.
Dalam catatan di Facebook pada 13 dan 14 Jun, Dr Maliki berkongsi beliau telah bertemu jemaah Singapura ketika di Shisha, Makkah.
“Perjalanan haji bukan sekadar cabaran rohani tetapi juga jasmani, dan memastikan tubuh kita tidak kekurangan air adalah penting dalam cuaca panas ini.
“Mari kita menyokong antara satu sama lain dalam setiap cara yang kita boleh, memastikan kesejahteraan kita supaya kita mampu mendapat sepenuhnya keberkatan haji ini,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg