Jemaah haji Singapura umumnya dalam keadaan sihat, kecuali segelintir yang memerlukan rawatan doktor bagi demam dan batuk, kata Ketua Delegasi Haji Singapura, Dr Mohamad Maliki Osman, pada 15 Jun.
Ini sedang jemaah dibayangi cuaca panas yang diramal mencecah setinggi 50 darjah Celsius pada Hari Arafah, iaitu 9 Zulhijah, apabila jemaah berkumpul untuk wuquf.
Dr Maliki, yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri, berkata jemaah telah bersiap selama beberapa hari untuk menjalankan ibadah tersebut dan dinasihatkan supaya terus meminum air dan memastikan mereka menjaga kesihatan masing-masing.
“Insya-Allah kita semua akan terus dapat menjalankan ibadah dengan sempurna. Mereka dalam keadaan yang mencabar, walaupun sedemikian saya melihat mereka semua mempunyai semangat yang begitu kuat untuk menjalankan ibadah masing-masing,” katanya.
Dr Maliki dalam satu hantaran di Facebook turut menjelaskan tentang kaedah kad pengenalan dipanggil Nusuk yang diperkenal oleh Kementerian Haji dan Umrah Kerajaan Arab Saudi.
Dr Maliki berkata anggota jemaah perlu menunjukkan kad Nusuk di beberapa pusat pemeriksaan untuk mendapatkan izin memasuki kawasan beribadah, seperti Arafah, agar bilangan yang memasuki kawasan tersebut tidak melebihi jumlah yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Saya menjelaskan kepada jemaah bahawa langkah ini tidak menyusahkan jemaah, sebaliknya memudahkan urusan kami sebab ia memastikan keselamatan kami sewaktu menjalankan ibadah-ibadah haji,” katanya.
Pada 15 Jun, jemaah seramai lebih dua juta orang dari seluruh dunia berkumpul di Arafah bagi melaksanakan ibadah wuquf, iaitu kemuncak haji, sebelum berangkat untuk mabit (bermalam) di Muzdalifah dan kemudian ke Mina bagi melontar di ketiga-tiga jamrah, dari 9 Zulhijah (15 Jun waktu Arab Saudi) hingga 12 Zulhijah (18 Jun).
Anggota jemaah yang dihubungi Berita Harian berkata mereka dalam keadaan baik dan selesa dalam khemah yang disediakan di Arafah.
“Kami berangkat dari Shisha ke Arafah pada 5.30 petang hingga 8.30 malam (14 Jun).
“Jemaah berasa agak tenang dan kerap minum air supaya kami tidak kehausan,” kata Encik Muhammad Zabid Muhammad Rashid, 42 tahun, yang menunaikan haji bersama isterinya, Cik Farizah Abdul Rahman, 42 tahun.
Encik Zabid berkata beliau melaksanakan wuquf di kawasan khemah yang disediakan bagi jemaah.
“Sini ibarat suasana kampung. Sering kami yang lebih muda merajinkan diri untuk membantu anggota jemaah yang lebih tua untuk memakai ihram dan mengingatkan mereka supaya mengambil ubat,” ujarnya.
Encik Zabid berkata ketika di Shisha, jemaah kerap solat berjemaah dan qiyam untuk membuat persiapan dari segi mental dan rohani sebelum berangkat ke Arafah.
Encik Halil Haji Mansor, 56 tahun, yang menyertai rombongan dikendali Jalaluddin Travel & Services berkata beliau rasa terharu terhadap pengurusan jemaah ketika di Arafah.
Beliau berkata makanan dan minuman disediakan bagi jemaah, begitu juga tempat duduk bagi jemaah berkumpul sambil menanti waktu berwuquf.
“Ini melebihi jangkaan saya dan saya gembira terhadap kemudahan yang disediakan pihak agensi,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg