Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jemaah haji terkandas lalui perjalanan lebih 26 jam sebelum tiba di S’pura

Jun 25, 2025 | 9:51 PM
Terkandas, Scoot, haji
Selepas resah apabila terkandas ekoran pembatalan penerbangan Scoot, Cik Zaidaharshah Mohd Zain (dua dari kiri) dan suaminya, Encik Mohd Taib Idris (dua dari kanan), disambut anak-anak, Cik Nuradilah Mohd Taib (kiri), Cik Nuraisyah Mohd Taib (tiga dari kiri) dan menantu, Encik Hadi Azhari Ishak di Terminal 2, Lapangan Terbang Changi. - Foto ZAILINA MOHD ZAIN

Rasa tidak menentu menyelubungi jiwa 43 anggota jemaah haji di bawah naungan agensi, Halijah Travels Ptd Ltd, sewaktu dimaklumkan tentang pembatalan saat akhir khidmat penerbangan Scoot TR597.

Mereka sepatutnya menaiki pesawat itu pada malam 23 Jun di Jeddah untuk kembali ke Singapura.

Salah seorang daripada mereka, Encik Mahmood Ghaznavi Bashir Muhammad, peguam berusia 63 tahun, berkata:

“Ketakutan utama bukan kelewatan, tetapi ketidaktentuan situasi geopolitik di Timur Tengah.”

Beliau menunaikan ibadah haji bersama lima anggota keluarga.

Encik Mahmood berjaya mendapat tiket ganti untuk keluarganya, namun diarah menunggu pelepasan bersama kumpulan jemaahnya, mengikut arahan pihak berkuasa Arab Saudi.

“Kami telah menyempurnakan ibadah haji. Jadi, semua fikiran tertumpu nak balik sahaja, dan apabila penerbangan dibatalkan, saya rasa sedih dan bimbang,” ujarnya.

Kumpulan jemaah tersebut akhirnya berlepas dari Jeddah (9 malam waktu di Jeddah) pada 24 Jun, dalam satu penerbangan transit ke Kuala Lumpur sebelum sampai ke Singapura – menjadikan tempoh perjalanan mereka melebihi 26 jam.

Setibanya di Kuala Lumpur, anggota jemaah dibahagikan kepada dua kumpulan dan diterbangkan dengan khidmat penerbangan Malaysia Airlines (MAS).

Kumpulan pertama meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1.25 petang, dan kumpulan kedua pula berlepas sekitar 2.20 petang.

Seorang lagi anggota jemaah, Cik Zaidaharshah Mohd Zain, 65 tahun, seorang suri rumah, menyerahkan segalanya pada ketentuan Tuhan.

“Kita perlu sabar, Allah punya perancangan lebih baik,” ujar beliau.

Cik Zaidaharshah yang menunaikan haji bersama suami, bersyukur mendapat sokongan moral daripada keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa menghubunginya bagi bertanya khabar.

Beliau menekankan bahawa walaupun gangguan perjalanan itu mendatangkan tekanan, doa dan kesabaran membantunya menghadapi ujian tersebut.

Menurut Cik Zaidaharshah, beliau akur dengan keadaan tidak menentu itu dan kekangan ruang udara akibat konflik di Timur Tengah itu.

Pengurus Besar Halijah Travels, Encik Haffidz Abdul Hamid, yang gigih memastikan keselamatan jemaah di Lapangan Terbang Changi, pula menjelaskan:

“Sementara menanti penerbangan gantian, jemaah ditempatkan di Hotel The Oberoi, Madinah, lengkap dengan program bersama komuniti masjid tempatan. Situasi dilaporkan tenang dan terkawal sepanjang masa.”

Beliau menambah isu utama hanya timbul bagi tampungan bagasi penerbangan, memandangkan penerbangan asal membenarkan bagasi 40 kilogram seorang.

Namun, penerbangan gantian hanya membolehkan 30 kilogram seorang.

Ini memaksa agensi memilih penerbangan yang paling sesuai daripada aspek bagasi.

“MAS hadir tepat pada masanya… mereka dapat memenuhi keperluan bagasi dan jadual masa, serta memastikan semua jemaah – bersama bagasi mereka – selamat pulang.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada MAS dan Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) atas kerjasama dan sokongan penuh dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan jemaah kami,” tambah Encik Haffidz.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg