Di sebalik cabaran seperti panas terik dan ketegangan yang berterusan di Timur Tengah, semua jemaah haji Singapura telah kembali ke Singapura dengan selamat, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, pada 25 Jun.
Bercakap kepada media di Lapangan Terbang Changi Terminal 3 semasa menyambut kepulangan kumpulan terakhir jemaah haji Singapura, Dr Faishal berkata kepulangan lancar itu hasil kerjasama padu antara pemerintah Singapura, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) dengan rakan sejawatan mereka di Arab Saudi.
Seramai 175 anggota jemaah dari lima firma ejen penjualan (GSA) pakej haji – TM Fouzy Travel & Tours, Hamidah Travel & Tours, Azza Travel & Tours, Thoha Travels & Tours Pte Ltd, dan Sha Travel & Tour Pte Ltd – selamat mendarat pada 3.45 petang.
Dr Faishal berkata: “Alhamdulillah, semua jemaah haji kita telah selamat pulang ke tanah air, termasuk mereka yang terkandas akibat pembatalan penerbangan oleh Scoot dari Jeddah ke Singapura pada 23 Jun lalu.”
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu memastikan kepulangan jemaah Singapura, termasuk SPAO.
“Tahniah juga kepada kerajaan Arab Saudi kerana berjaya menganjur dan melaksanakan pengurusan haji yang lancar bagi 1.67 juta anggota jemaah dari seluruh dunia.
“Ini bukan sesuatu yang mudah dan usaha mereka telah meninggalkan kesan yang positif kepada anggota jemaah kita,” tambah Dr Faishal.
Ini termasuk penyelarasan khidmat bas serta kemudahan di Arafah dan Mina yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Dr Faishal turut menyampaikan penghargaan kepada pasukan perubatan dari SPAO di Arab Saudi dan Singapura atas layanan dan khidmat cemerlang, dengan menyatakan bahawa klinik SPAO di Shisha dan Madinah telah merawat sekitar 890 anggota jemaah pada haji kali ini.
Beliau turut menasihatkan jemaah yang telah pulang agar memantau kesihatan mereka dan segera mendapatkan rawatan jika tidak sihat.
Tahun ini seramai 900 anggota jemaah Singapura telah ke tanah suci bagi ibadah haji 2025.
Dalam kalangan jemaah, Encik Muhammad Jamil Abdul Samad, 61 tahun, bersyukur kerana segala urusan haji berjalan lancar.
Mengakui perasaan bimbang yang menyelubungi dirinya apabila menerima berita mengenai jemaah lain yang terkandas, beliau berkata: “Segala yang berlaku adalah ketentuan Allah, dan apa sahaja yang terjadi juga urusan-Nya. Kita hanya mampu berdoa, namun Allah yang menentukan.
“Alhamdulillah, semua akhirnya dapat pulang dengan selamat.”
Menurut Dr Faishal, 43 anggota jemaah yang terkandas telah selamat mendarat di Singapura melalui penerbangan Malaysia Airlines.
Di Kuala Lumpur, jemaah dibahagikan kepada dua kumpulan dan diterbangkan menggunakan Malaysia Airlines – kumpulan pertama meninggalkan lapangan terbang KLIA pada 1.30 petang dan kumpulan kedua kira-kira 2 petang.
Mereka yang dijadual pulang ke Singapura pada 24 Jun terkandas di Madinah, Arab Saudi selepas penerbangan Scoot TR597 dari Jeddah pada 23 Jun dibatalkan.
Penerbangan tersebut sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Changi pada petang 24 Jun.
Ruang udara beberapa negara di Teluk Parsi ditutup beberapa jam sebelum dan selepas Iran menyerang pangkalan udara Amerika Syarikat pada 23 Jun.
Ia adalah serangan balas selepas Amerika mengebom tiga tapak nuklear di Iran.
Konflik bersenjata terkini antara Israel dengan Iran tercetus selepas Israel menyerang Teheran pada 13 Jun.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Faishal turut mengesahkan bahawa para pelajar Singapura yang terkandas akibat pembatalan penerbangan di Doha kini dalam perjalanan pulang ke tanah air.
“Muis telah berhubung dengan para pelajar yang sedang dalam perjalanan pulang ke Singapura,” katanya.
Selepas menyambut ketibaan kumpulan terakhir jemaah di Terminal 3, Dr Faishal turut ke Terminal 1 bagi menyambut kepulangan 15 pelajar yang terkandas di Doha akibat pembatalan penerbangan.
Mereka selamat mendarat di Lapangan Terbang Changi Terminal 1 pada 25 Jun sekitar 6 petang.
Sementara itu Singapore Airlines (SIA) berkata pihaknya akan menyambung semula penerbangan antara Singapura dengan Dubai pada 26 Jun selepas membuat penilaian tentang keadaan geopolitik di Timur Tengah, kata syarikat penerbangan nasional lapor The Straits Times.
Scoot juga akan memulakan semula penerbangan antara Singapura dengan bandar Jeddah di Arab Saudi mulai 28 Jun.
Penerbangan yang dijadualkan berlepas dari Singapura dan Jeddah pada 26 Jun masih dibatalkan.
Scoot dan SIA berkata pelanggan boleh mengemas kini butiran hubungan mereka melalui fungsi Manage Booking di laman web sama salah satu syarikat penerbangan.
Mereka juga boleh melungsuri halaman status penerbangan untuk mendapatkan maklumat penerbangan terkini, atau melanggan perkhidmatan pemberitahuan mudah alih SIA untuk menerima kemas kini penerbangan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg