Menghayati keberkatan bulan Ramadan memerlukan kefahaman yang mendalam dan amalan yang konsisten. Ketua Dakwah Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Ahmad Syarif Senewi, menekankan tiga nilai utama sebagai panduan bagi jemaah dalam menghadapi cabaran Ramadan, iaitu Setia, Sabar dan Syukur.
Menurutnya, tiga nilai ini bukan sahaja membantu memperkukuh keimanan, malah meningkatkan ketakwaan dalam menghayati bulan penuh keberkatan ini.
Tiga nilai ini juga bukan sahaja membantu menghayati Ramadan dengan lebih mendalam, bahkan dapat membentuk keperibadian yang lebih baik dalam kehidupan harian.
Ustaz Ahmad Syarif menjelaskan:
Sikap setia dalam ibadah bermaksud kita mengekalkan konsistensi dalam melakukan amalan soleh sepanjang Ramadan. Ramadan bukan sekadar permulaan yang baik tetapi seharusnya menjadi titik perubahan untuk membina amalan yang kekal sepanjang hayat.
“Mengekalkan ketekalan dalam ibadah bukanlah satu tugas yang mudah. Namun, dengan sokongan masyarakat serta suasana yang kondusif, ia dapat menjadi lebih ringan dan menyenangkan.’‘
Sabar pula antara unsur terpenting dalam menjalani ibadah puasa. Ramadan mengajar kita menahan diri bukan sahaja daripada makan minum, malah daripada perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa seperti pertengkaran, umpatan, dan perbuatan yang boleh mencetuskan pergaduhan.
“Kesabaran yang diasah sepanjang Ramadan bukan sahaja membantu meningkatkan ketakwaan bahkan membentuk keperibadian lebih sabar dan berlapang dada dalam menghadapi cabaran kehidupan.’‘
Ramadan adalah bulan untuk kita mensyukuri segala nikmat yang Allah kurniakan. Oleh itu, setiap rezeki yang kita nikmati, kesihatan yang kita miliki, serta peluang menjalani ibadah pada bulan yang mulia ini adalah satu anugerah yang tidak boleh dipandang ringan.
Mensyukuri nikmat bukan hanya sekadar ucapan, bahkan dengan perbuatan. Berkongsi rezeki, membantu mereka yang susah, serta menggunakan setiap peluang meningkatkan ibadah adalah antara cara kita menunjukkan rasa syukur yang sebenar.
Ramadan bukan sekadar bulan yang berlalu begitu sahaja. Ia satu perjalanan untuk menjadi Muslim yang lebih baik. Dengan berpegang kepada tiga nilai ini, kita bukan sahaja dapat mengharungi Ramadan dengan penuh keikhlasan dan ketakwaan, bahkan menjadikannya sebagai satu titik perubahan dalam kehidupan kita.
Seiring dengan panduan yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Syarif, Pengerusi Kanan Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Mohamed Ali Atan, turut menekankan kepentingan menghayati Ramadan dengan harapan ia membawa kebahagiaan dan keberkatan kepada seluruh umat Islam.
“Selamat menyambut Ramadan. Semoga bulan yang penuh barakah ini membawa kebahagian dan keberkatan untuk kita semua. Saya juga dengan rendah hati meminta kerjasama semua jemaah agar menjaga keselamatan semasa menunaikan solat yang terlalu ramai di masjid.
“Masjid Ar-Raudhah akan berusaha memberikan khidmat terbaik dan memberi keselesaan kepada jemaah. Masjid Ar-Raudhah turut mengundang jemaah bersama-sama menyemarakkan Ramadan dengan penuh semangat dan keikhlasan,” ujar Ustaz Mohamed Ali.
Selain itu, pelbagai program telah disusun sempena Ramadan bagi memperkaya pengalaman ibadah jemaah. Antaranya Tazkirah Tarawih yang diadakan setiap Sabtu, bertujuan memberi peringatan dan motivasi kepada jemaah agar terus beristiqamah dalam ibadah serta memperbaiki mutu kehidupan sebagai seorang Muslim.
Program Tadarus & Gema Al-Quran pula diadakan bagi menggalakkan budaya membaca dan memahami Al-Quran sepanjang Ramadan.
Melalui program ini, jemaah berpeluang membaca Al-Quran secara berjemaah, memperbaiki bacaan mereka, serta menghayati mukjizat terbesar yang diturunkan kepada umat Islam.
SEKILAS
Cara menghulur sumbangan kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:
1. PayNow ke UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.
3. Cek atas nama Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah dan kirimkan ke alamat 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg