Kekal cergas sepanjang Ramadan 2025.
Begitulah lakaran bagi Masjid Ar-Raudhah bagi program kerohanian dan fizikal, persiapan menyambut kedatangan Ramadan ini untuk petugas, ahli pentadbir dan sukarelawan di masjid tersebut.
Acara bermula dengan kegiatan gotong-royong membersihkan masjid yang terletak di Bukit Batok East ini pada 9 Februari.
Seramai 80 orang hadir untuk membantu dan menyingsing lengan dengan membersihkan persekitaran masjid, terutama sekali dewan solat, dan membersihkan kipas dan barangan lain.
Sukarelawan dan pekerja hijrahan Bangladesh juga turut hadir dan menolong membersih dan mengecat tembok-tembok masjid, agar kelihatan lebih bersih sempena kehadiran bulan mulia ini.
Acara gotong-royong itu bermula pada 8.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Bagi acara kerohanian, Masjid Ar-Raudhah telah mengundang mantan Mufti, Ustaz Fatris Bakaram, pada 13 Februari.
Ustaz Fatris telah menyampaikan tazkirah bertajuk, ‘Masjid Bersedia, Jemaah Selesa’.
Dalam tazkirah tersebut, beliau memberikan panduan bagi persiapan diri kepada yang hadir, khususnya warga kerja Masjid Ar-Raudhah untuk Ramadan ini.
Ustaz Fatris mengingatkan hadirin agar terus menyematkan niat untuk berkhidmat dengan penuh keikhlasan.
Beliau turut menasihatkan kakitangan di Masjid Ar-Raudhah amnya, tentang perlunya memberi khidmat terbaik kepada jemaah masjid, dan yakinlah setiap khidmat yang dilakukan adalah demi Allah swt.
Hanya dengan bergantung kepada-Nya kita akan mencapai keberkatan dan kejayaan, dunia dan akhirat, ujarnya.
Ustaz Fatris turut berpesan dan senantiasa mengingatkan tiga perkara; iaitu berkhidmat kerana Lillaah (kerana Allah), Billaah (dengan Allah), serta Fillaah (dalam mengikut jalan Allah).
Pengerusi Kanan Eksekutif di Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Mohamed Ali Atan, amat berterima kasih atas setiap sokongan yang diterima daripada semua pihak untuk Masjid Ar-Raudhah.
“Dengan rendah hati, saya ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangan petugas, anggota pentadbir dan semua sukarelawan yang menghulurkan tenaga membantu membersihkan masjid sempena kehadiran Ramadan ini.
“Masjid Ar-Raudhah sentiasa menghargai setiap sokongan dan sumbangan, baik daripada sumbangan tenaga atau wang ringgit yang kami terima sejauh ini.
“Pihak kami berharap masyarakat Melayu/Islam di sini akan terus menyokong dan memakmurkan program dan projek kendalian masjid-masjid di negara ini.
“Masjid Ar-Raudhah juga bakal menjalankan kerja peningkatan bermula pada akhir 2025 ini.
“Justeru, pihak kami akan terus mengadakan projek pungutan dana secara berterusan,” jelas Ustaz Mohamed Ali.
Beliau juga berharap nasihat dan pesanan yang diberikan oleh Ustaz Fatris dapat diamalkan semua dalam memberikan khidmat yang cemerlang demi kebaikan bersama.
SEKILAS
Cara memberi sumbangan kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:
1. PayNow ke: UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.
3. Cek atas nama Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah, dan kirimkan ke alamat masjid di 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.
4. Imbas kod QR yang tertera.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg