Terus mengimarahkan masjid. Begitulah yang kerap dilakukan oleh Masjid Ar-Raudhah di Bukit Batok East Avenue 2 ini.
Terbaru, Raudhatul Quran Masjid Ar-Raudhah telah mengadakan majlis Khatam Jama`i yang pertama bagi 2025, iaitu pada Ahad, 16 Februari.
Seramai 300 peserta termasuk sukarelawan masjid membantu pada acara tersebut. Majlis penuh kesyahduan itu telah diadakan di Dewan Yam, Masjid Ar-Raudhah dari 9 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Antara yang hadir ialah jemaah Raudhatul Quran, peserta dan pembaca daripada kumpulan Nur Al-Quran Singapura daripada Masjid Hussain Sulaiman dan Masjid Hasanah. Majlis berjalan dengan lancar dan mendapat tajaan dan sumbangan penuh jemaah Raudhatul Quran. Lebih sumbangan $2,000 diterima pada acara Khatam Jama`i.
Pengerusi Kanan Eksekutif di Masjid Ar-Raudhah dan Masjid Hussain Sulaiman, Ustaz Mohamed Ali Atan, berterima kasih atas setiap sokongan yang diterima daripada semua pihak yang telah menjayakan masjid itu. Beliau turut menjelaskan, Masjid Ar-Raudhah bakal menjalani kerja peningkatan pada akhir 2025 ini. Kerja naik taraf Masjid Ar-Raudhah dijangka menelan belanja sehingga $10.42 juta.
Masjid Ar-Raudhah juga bakal menganjurkan pelbagai lagi majlis ukhrawi sempena Ramadan ini seperti Gema Al-Quran yang dijadualkan berlangsung pada akhir Mac.
“Alhamdulillah, sumbangan untuk projek naik taraf masjid terkumpul pada majlis tersebut berjumlah $2,621.00.
“Sempena Ramadan ini, kami akan mengadakan majlis Gema Al-Quran pada Ahad 23 Mac 2025 di dewan solat. Sasaran pembaca Al-Quran yang hadir dianggarkan 1,000 orang.
“Majlis ini bertujuan menyemarakkan pembacaan dan mengkhatamkan Al-Quran beramai-ramai pada bulan Ramadan. Semoga majlis ini mendapat barakah Ramadan.
“Kami juga berharap jemaah dapat menyumbang untuk dana peningkatan Masjid Ar-Raudhah yang masih memerlukan sekitar $1.5 juta lagi,” jelas Ustaz Mohamed Ali.
Ustaz Ali berharap dengan bantuan dan sumbangan jemaah yang berterusan ini, projek bagi kerja peningkatan dapat dilakukan secepat mungkin, khususnya pada 2025 ini.
“Marilah kita mengambil peluang Ramadan yang mulia ini dengan menderma seikhlasnya dan mencintai Al-Quran dengan mengikuti acara Gema Al-Quran.
“Jemaah boleh mendaftar untuk meraikan majlis ini dan masyarakat Islam di sini dipersilakan hadir,” tambah Ustaz Ali.
Cara memberi sumbangan kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:
1. PayNow ke: UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.
3. Cek atas nama Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah, dan dikirimkan ke alamat masjid di 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.
4. Imbas kod QR yang tertera.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg