Seorang pegawai Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Encik Amran Mohd, 60 tahun, meninggal dunia di kawasan Raudhah di Masjid Nabawi, Madinah selepas menunaikan solat maghrib pada 30 Januari lalu.
Sudah menjadi suratan takdir – langkahnya ke kawasan suci itu merupakan langkah terakhir beliau di muka bumi, kebetulan pada malam Jumaat yang dianggap mulia bagi orang Islam.
Allahyarham meninggalkan balu dan empat orang anak.
Arwah merupakan antara anggota jemaah Singapura yang mengikuti pakej umrah TM Fouzy Travel and Tours, yang berlepas dari Singapura pada 22 Januari dan pulang ke tanah air pada 5 Februari.
Ketika menjalani umrah, Allahyarham berada dalam keadaan biasa, jelas keluarganya yang berkongsi kepada Berita Harian (BH).
Daripada sijil kematian, Allahyarham dikatakan meninggal dunia akibat sebab semula jadi.
Solat jenazah Allahyarham didirikan di Masjid Nabawi selepas solat Jumaat dan selamat dikebumikan di perkuburan Baqi bersebelahan masjid tersebut pada 31 Januari.
Dalam satu hantaran di media sosial pada 31 Januari, TM Fouzy Travel & Tours menyampaikan salam takziah kepada keluarga arwah sambil mendoakan agar keluarga diberi ketabahan dan dimudahkan segala urusan.
“Telah kembali ke Rahmatullah jemaah kami yang baru sahaja bersama kami di Baitulmakdis. Perginya beliau saat berada di Madinah dalam keadaan di dalam Raudhah di sisi Rasulullah, pada malam Jumaat,” menurut hantaran itu.
Pada Mac 2024, Masjid Nabawi menyaksikan pemergian seorang warga Singapura yang rasa kurang sihat dan tiba-tiba rebah di kawasan menunggu untuk menantikan gilirannya ke ruang Raudhah.
Jenazah Allahyarham Ghazali Ismail, 63 tahun, juga selamat dikebumikan di perkuburan Baqi bersebelahan Masjid Nabawi.
Pada waktu itu, Allahyarham sedang menjalankan ibadah umrah bersama isterinya dengan keinginan untuk berpuasa di Makkah dan mendapatkan umrah awal Ramadan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg