Syarikat barangan mewah dan fesyen sejagat, Louis Vuitton, telah memfailkan saman terhadap anak syarikat milik penuh ValueMax Group, yang tersenarai di papan utama bursa, di Mahkamah Tinggi Singapura, atas dakwaan pelanggaran cap dagangan dan penyamaran.
Louis Vuitton, yang lebih dikenali sebagai LV, membangkitkan isu berhubung beberapa barangan perhiasan yang dijual ValueMax Retail, yang menurut LV, berada dalam persaingan langsung dengan perniagaan barang kemasnya.
Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada pertengahan September, LV mendakwa ValueMax Retail pada Julai dan Ogos 2024 telah menjual pelbagai barang kemas di cawangan Yishun Street 22 mereka.
Barang kemas itu kemudian dilekatkan dengan cap yang sama atau hampir sama dengan cap dagangan LV.
Kes saman itu telah melalui satu persidangan pengurusan kes pada 16 Disember.
LV mempunyai empat cap dagangan berdaftar di Singapura, iaitu monogram LV dan tiga motif grafik.
Ia mendakwa kedai tersebut telah menjual satu loket emas serta menjual sekurang-kurangnya satu lagi barang kemas – sepasang subang emas – pada 5 Ogos.
LV mendakwa barangan tersebut adalah tiruan yang melanggar cap dagangannya.
LV berkata jenamanya merupakan antara yang paling bernilai di dunia dan juga antara jenama mewah yang paling banyak ditiru.
Oleh yang demikian, terdapat keperluan mencegah pelanggaran seumpama itu kerana reputasi dan nama baiknya boleh terjejas akibat barangan tiruan.
LV turut mendakwa ValueMax Retail telah membuat perwakilan yang mengelirukan kepada orang ramai, bahawa barang kemas yang dijual adalah produk LV atau kewujudan satu kaitan atau hubungan ekonomi antara barangan tersebut dengan LV.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg