Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jenama minuman Gong Cha akan dibuka semula di S’pura 2026

Oct 3, 2025 | 12:12 PM
Singapura, Gong Cha, bubble tea
Jenama minuman ‘bubble tea’, Gong Cha, akan dilancarkan semula di Singapura pada 2026 dengan pemegang francais baru, kata ketua eksekutif sejagat syarikat itu, Encik Paul Reynish, selepas ia menutup semua cawangannya di sini pada 2 Oktober. - Foto ZAOBAO

Jenama minuman ‘bubble tea’, Gong Cha, akan dilancarkan semula di Singapura pada 2026 dengan pemegang francais baru, kata ketua eksekutif sejagat syarikat itu, Encik Paul Reynish.

Dalam satu kenyataan pada 2 Oktober, beliau berkata Gong Cha Global telah “menutup buat sementara waktu” semua cawangannya di Singapura.

Gong Cha Singapura turut menyahaktifkan akaun media sosial dan laman web tempatan.

Syarikat gergasi minuman ‘bubble tea’ asal Taiwan itu berkata ia telah memutuskan untuk tidak memperbaharui perjanjian dengan pemegang francais induknya.

Namun, ia akan dibuka semula di sini dengan kerjasama pemegang francais tempatan yang baru.

Encik Reynish berkata: “Singapura adalah pasaran yang sangat penting bagi kami, dan kami sangat teruja untuk melancarkan semula (jenama kami) pada 2026.”

Beliau berkata syarikat itu juga berhasrat untuk memperkenalkan kedai Gong Cha 2.0, yang pertama kali dilancarkan di luar negara pada 2024, di Singapura.

“Kami percaya kami berhasil memecahkan formula kejayaan dengan Gong Cha 2.0, reka bentuk kedai kami yang diterajui teknologi dan telah memenangi anugerah,” tambah beliau.

Hal ini berdasarkan kejayaan pelancaran reka bentuk kedai jenama itu di Korea Selatan dan Jepun, yang menurut Gong Cha menawarkan teknologi inovatif yang boleh mengurangkan masa menunggu dan meningkatkan pengalaman pelanggan secara keseluruhan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pekerja Gong Cha di Singapura atas kerja keras dan komitmen mereka.

“Kepada pencinta Gong Cha di seluruh negara (Singapura): Ini bukanlah selamat tinggal, tetapi ‘jumpa anda tidak lama lagi!’.

“Kami akan kembali (ke pasaran di sini) pada 2026 dengan tawaran bersifat lebih berani, lebih inovatif dan lebih menarik,” katanya.

Awal dari itu, Gong Cha Singapura mengumumkan ia telah menghentikan operasi di seluruh Singapura secara rasmi.

Ketua eksekutif Gong Gha Singapura, Encik Kang Puay Seng, memberitahu akhbar bahasa Cina Lianhe Zaobao bahawa Gong Cha Singapura bukan lagi pemegang francais jenama tersebut secara tempatan mulai 1 Oktober.

Kenyataan itu juga memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa semua isu yang timbul daripada penutupan itu akan dikendalikan secara bertanggungjawab dan adil.

Dalam satu catatan di laman LinkedIn Gong Cha Global pada April, syarikat itu melaporkan “pertumbuhan memecah rekod” pada 2024, dengan jualan mencatatkan angka lebih daripada AS$600 juta ($772 juta).

Tambahan juga, ia mencatatkan peningkatan 12 peratus dari tahun ke tahun dalam hasil kumpulan kepada AS$190 juta – didorong oleh pertumbuhan kukuh di Jepun dan rantau Asia-Pasifik, jelas catatan tersebut.

Gong Cha turut membuka 240 kedai baru, termasuk kedai utama baru di Korea Selatan dan kedai pertamanya di Timur Tengah pada 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg