Seramai 195 orang telah ditangkap disebabkan penglibatan mereka dalam kegiatan berkaitan maksiat dalam operasi di serata negara antara 14 September dengan 30 Oktober.

Dalam satu kenyataan media pada 8 November, polis berkata lapan lelaki dan 187 wanita, berusia 18 hingga 63 tahun, telah ditangkap bagi pelbagai kesalahan di bawah Piagam Wanita 1961, Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing 1990, Akta Kawalan Perjudian 2022 dan Kanun Keseksaan 1871.

Polis menambah bahawa 16 daripada mereka yang ditangkap didapati bersubahat dalam kegiatan maksiat.

Telefon bimbit, komputer, peralatan berkaitan maksiat dan wang tunai bernilai lebih $150,000 telah dirampas semasa operasi itu, manakala akaun bank yang mengandungi lebih $600,000 telah dibekukan, kata polis.

Antara mereka yang ditangkap ialah seorang lelaki warga Singapura berusia 41 tahun yang didakwa di mahkamah pada 23 Oktober kerana penglibatannya dalam membolehkan kegiatan maksiat dijalankan.

Siasatan terhadap individu lain sedang dijalankan, tambah polis.

Sesiapa yang menggunakan perkhidmatan komunikasi jarak jauh dengan rangkaian Singapura untuk menawarkan khidmat seks di Singapura oleh seorang wanita atau gadis bagi mendapatkan bayaran boleh dikenakan hukuman penjara hingga lima tahun, denda hingga $100,000, atau kedua-duanya sekali.

Sesiapa yang memperoleh mana-mana wanita bagi tujuan pelacuran; secara sedar hidup hasil pendapatan daripada pelacuran orang lain; atau secara sedar meminta, menerima atau bersetuju menerima ganjaran bagi menyediakan sebarang perkhidmatan yang membantu pelacuran orang lain boleh dikenakan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda hingga $100,000.

Pesalah berulang bagi kedua-dua kesalahan tersebut boleh dikenakan hukuman penjara selama tujuh hingga 10 tahun, denda hingga $150,000, atau kedua-duanya sekali.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Julius Lim berkata:

“Sindiket maksiat bukan sekadar masalah maksiat. Kegiatan mereka sering dikaitkan dengan pelbagai bentuk jenayah lain dan mendatangkan ancaman yang lebih besar kepada keselamatan dan ketenteraman awam.

“Sedang sindiket-sindiket ini semakin mengeksploitasi teknologi dan beroperasi merentasi sempadan, usaha penguatkuasaan kami mesti seiring, baik di dalam negara mahupun menerusi penyelarasan dengan rakan kerjasama asing. Kami akan terus melumpuhkan sindiket-sindiket ini dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.”

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti