Dua lelaki, berusia 27 dan 33 tahun, telah ditahan polis Singapura kerana memiliki atau mendapatkan akses kepada bahan penderaan kanak-kanak.

Ini susulan penahanan 17 individu oleh polis Italy sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap rangkaian antarabangsa berpangkalan di Italy yang mengedarkan bahan penderaan seksual kanak-kanak secara dalam talian.

Ketua pendakwa raya di ibu kota Rome mengumumkan penahanan tersebut pada 17 September.

Akhbar The Straits Times melaporkan Pasukan Polis Singapura (SPF) mengesahkan pada 19 September bahawa pihaknya telah menerima maklumat daripada pihak berkuasa Italy mengenai operasi yang menyasarkan sebuah kumpulan Telegram yang berkongsi bahan penderaan kanak-kanak.

Berikutan maklumat yang diterima, SPF menahan kedua-dua lelaki tersebut atas kesalahan memiliki atau mendapatkan akses kepada bahan penderaan kanak-kanak.

Polis tidak menyatakan warga negara kedua-dua lelaki terbabit atau sama ada mereka mengenali antara satu sama lain.

Siasatan sedang dijalankan.

Di Italy, seorang pegawai yang menyamar berjaya mendapat kepercayaan pentadbir kumpulan Telegram berkenaan, menjadi pentadbir bersama dan memperoleh akses kepada saluran peribadinya, lapor AFP.

Rangkaian tersebut dikendalikan oleh empat warga Italy dan seorang warga Switzerland.

Operasi yang dinamakan Fly Trap itu membawa kepada sebuah komuniti Telegram yang dinamakan New Saga, yang mempunyai lebih daripada 1,000 pengguna di seluruh dunia dan memerlukan pembayaran dalam mata wang kripto.

Pihak berkuasa Italy telah mengenal pasti sejumlah 996 akaun yang dikaitkan dengan 98 negara dan berkongsi maklumat tersebut dengan pihak berkuasa luar negara, yang membawa kepada beberapa penahanan.

Di Singapura, mereka yang didapati bersalah memiliki atau mendapatkan akses kepada bahan penderaan kanak-kanak, dan mengetahui atau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa bahan tersebut adalah bahan penderaan kanak-kanak, boleh dipenjara hingga lima tahun, dan didenda atau disebat.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti