Topik diikuti
Pergi ke BHkuBekas pengurus pusat pendidikan dera murid, paksa minum air kencing sendiri
Bekas pengurus pusat pendidikan dera murid, paksa minum air kencing sendiri
Bekas pengurus pusat pendidikan dera murid, paksa minum air kencing sendiri
Setelah digajikan oleh ibu saudaranya untuk mengajar mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris kepada beberapa murid sekolah rendah, seorang lelaki bukan sahaja memukul pelajarnya dengan menggunakan penyangkut baju dan menumbuk mereka, malah turut membiarkan mereka kelaparan sebagai satu bentuk hukuman.
Dia juga didakwa memaksa seorang murid lelaki meminum air kencingnya sendiri.
Pada 9 Julai, warga Singapura berusia 31 tahun itu – yang identitinya tidak boleh didedahkan ekoran perintah larangan mahkamah bagi melindungi identiti kanak-kanak terbabit – mengaku bersalah atas dua tuduhan mendera kanak-kanak.
Dia turut disabitkan atas satu tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah serta satu tuduhan memberikan maklumat palsu atau mengelirukan kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
Mahkamah menetapkan 21 Ogos sebagai tarikh hukuman dijatuhkan.
Ibu saudara lelaki itu mengendalikan sebuah pusat pendidikan yang turut menyediakan penginapan bagi pelajar dan pekerja, selain menawarkan khidmat perundingan pengurusan bagi pelajar asing.
Lelaki itu diambil bekerja sebagai pengurus di pusat tersebut pada 2016.
Antara tanggungjawabnya adalah menjaga pelajar yang menetap di pusat itu, mengajar murid sekolah rendah serta memeriksa kerja sekolah mereka.
Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa dia memperoleh pekerjaan itu meskipun tidak mempunyai sebarang kelayakan dalam bidang penjagaan kanak-kanak mahupun kelayakan mengajar.
Menurut pihak pendakwaan, dia kerap menghukum seorang murid lelaki warga China berusia enam tahun selepas kanak-kanak itu berpindah ke pusat tersebut pada Januari 2023.
Mangsa dipaksa mengekalkan kedudukan tekan tubi untuk tempoh yang berpanjangan sebagai hukuman, dipukul menggunakan penyangkut baju, dipaksa tidur di dalam tandas dan hanya dibenarkan makan roti serta minum air.
Pada 9 Mac 2023, lelaki itu mengarahkan mangsa berada dalam posisi tekan tubi ketika sedang belajar Bahasa Inggeris.
Kanak-kanak tersebut kekal dalam posisi tersebut selama lebih sejam sebelum menangis kerana kelaparan.
Lelaki itu kemudian membenarkan pelajar lain menikmati makan malam mereka, sedangkan mangsa terus dipaksa mengekalkan posisi tekan tubi dari sekitar 3.45 petang hingga keesokan paginya.
Pada kira-kira 1.15 pagi, dia turut menumbuk dan memijak mangsa ketika kanak-kanak itu masih berada dalam posisi tersebut.
Antara 2 pagi dengan 7 pagi pula, dia meletakkan sebuah kerusi di atas badan mangsa sebelum duduk di atasnya, sekali gus memaksa kanak-kanak itu terus menahan badannya dalam posisi itu.
Apabila mangsa ingin membuang air kecil, lelaki itu memaksanya membuang air kecil ke dalam sebuah besen sebelum memaksa kanak-kanak tersebut meminum air kencingnya apabila dia mengadu dahaga.
Sekitar 6 pagi pada 10 Mac 2023, dia menghubungi bapa mangsa untuk mendapatkan kebenaran mendisiplinkan anaknya itu, dan bapa mangsa bersetuju.
Namun, dia tidak memaklumkan bahawa “disiplin” yang dimaksudkan itu melibatkan penderaan fizikal, mahupun menceritakan apa yang telah dilakukan terhadap kanak-kanak itu.
Pada hari yang sama, dia tidak membenarkan mangsa pergi ke sekolah dan terus menderanya sepanjang hari menggunakan penyangkut baju serta tangannya.
Dalam satu kejadian, penyangkut baju itu patah, dan dia terus memijak mangsa.
Menjelang petang, mangsa menjadi terlalu lemah untuk berdiri.
Lelaki itu kemudian mengangkat kanak-kanak itu ke tandas dan menyembur air ke badannya.
Apabila ibu saudaranya pulang sekitar 7 malam, wanita itu mengarahkannya supaya menghentikan penderaan tersebut.
Namun, dia terus memukul dan menendang mangsa.
Dia hanya berhenti selepas ibu saudaranya mengangkat keluar kanak-kanak itu dari tandas.
Menurut pihak pendakwaan, penderaan yang berlaku pada 10 Mac 2023 itu berlarutan selama kira-kira 18 jam.
Lelaki itu turut menghalang ibu saudaranya daripada membawa mangsa ke hospital kerana bimbang ditangkap polis.
Bagaimanapun, ibu saudaranya tetap membawa mangsa ke hospital pada 14 Mac 2023 selepas kanak-kanak itu mengadu mengalami kesukaran bernafas.
Di hospital, doktor mendapati tanda-tanda vital mangsa berada pada tahap yang amat membimbangkan, lalu segera memindahkan budak itu ke Unit Jagaan Rapi (ICU) Kanak-Kanak, tempat dia dirawat sehingga 28 Mac 2023.
Mangsa mengalami kecederaan serius pada paru-parunya akibat hentakan kuat pada bahagian dada, yang menyebabkan pengumpulan cecair di dalam paru-parunya.
Dia turut mengalami kegagalan ginjal akibat hentakan kuat pada bahagian belakang badan sehingga memerlukan rawatan dialisis selama sembilan hari.
Kecederaan lain yang dialami termasuk kerosakan otot, tekanan darah tinggi yang serius akibat kegagalan buah pinggang serta beberapa tulang rusuk yang patah.
Mangsa akhirnya dibenarkan keluar dari hospital pada 28 April 2023.
Selain mangsa berusia enam tahun itu, lelaki berkenaan turut mendera beberapa kanak-kanak lain.
Pada Januari 2023, dia mengarahkan seorang murid lelaki warga China berusia 11 tahun menyiapkan kerja rumah Matematiknya pada cuti umum.
Apabila mendapati terdapat beberapa kesilapan dalam tugasan itu, dia menjadi berang lalu memaksa murid berkenaan berada dalam posisi tekan tubi selama kira-kira tiga jam.
Sepanjang tempoh itu, mangsa dipukul menggunakan penyangkut baju sekurang-kurangnya enam kali kerana gagal mengekalkan posisi itu.
Pada 1 Mac 2023, lelaki itu sedang membantu seorang murid lelaki warga China berusia 10 tahun menyiapkan kerja sekolah, apabila dia menyedari sebahagian tugasan itu belum disiapkan.
Dia kemudian menumbuk dan menampar kanak-kanak itu sekurang-kurangnya lima kali. Dia turut memaksa mangsa berada dalam posisi tekan tubi dan memukulnya dengan penyangkut baju.
Apabila kanak-kanak itu gagal menjawab satu soalan dalam tugasan sekolahnya, lelaki tersebut menumbuk muka mangsa berkali-kali sehingga menyebabkan pendarahan.
Sambil menuduh mangsa berpura-pura cedera, dia terus menendang dan memukul kanak-kanak itu menggunakan penyangkut baju.
Guru mangsa memaklumkan kejadian itu kepada ibu bapa budak itu pada 2 Mac 2023 sebelum satu laporan polis dibuat keesokan harinya.
Laporan perubatan kemudian merekodkan mangsa mengalami pelbagai kesan lebam pada bahagian badan.
