Topik diikuti
Pergi ke BHkuLelaki dipenjara dera anak, pukul punggung berulang kali
Seorang bapa berumur 35 tahun dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan selepas dia mendera anak perempuannya seawal bayi berkenaan berusia sembilan bulan, termasuk menampar punggungnya berulang kali serta mencampakkannya ke atas tilam.
Lelaki berkenaan – yang namanya tidak boleh didedahkan berikutan perintah sekatan bagi melindungi identiti mangsa – mengaku bersalah pada 18 Ogos atas dua tuduhan menganiaya kanak-kanak.
Penderaan itu berlaku di sebuah flat yang didiaminya bersama isterinya ketika itu, anak sulung mereka yang pada waktu itu berumur sekitar dua tahun, serta mangsa.
Insiden pertama berlaku pada 2 Julai 2024 apabila anak bongsunya itu baru berumur sembilan bulan.
Lelaki berkenaan sedang membuat kerja pada komputernya di dalam bilik, dengan katil bayi terletak berhampiran. Bayi itu kemudian terjaga dan mula menangis sejurus sebelum 8.45 malam.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Vishnu Menon berkata:
“Tangisan itu membangkitkan rasa marah tertuduh yang kemudian bangun daripada kerusinya, menyalakan (lampu suluh) telefonnya ke muka mangsa, membaringkannya, dan menjerit menyuruhnya diam.
“Dia kemudian memukul salah satu bantal di dalam katil bayi tersebut. Ini menyebabkan mangsa menangis dengan lebih kuat. Tertuduh lalu mengambil bantal yang dipukulnya itu dan melemparkannya ke arah mangsa.”
Tangisan bayi berkenaan semakin kuat selepas bantal tersebut terkena mukanya.
Apabila bayi berkenaan – yang memakai lampin – terus menangis, lelaki itu bangun dari kerusinya dan sekali lagi menjerit ke arahnya.
Dia kemudian memiringkan badan bayi itu dan menampar punggungnya sebanyak sembilan kali.
Insiden kedua berlaku pada 29 November 2024, apabila dia menampar punggung bayi tersebut sebelum mengangkat dan mencampakkannya ke atas tilam.
Kanak-kanak itu, yang ketika itu berusia 13 bulan, terus menangis sambil cuba mengusap punggungnya dengan tangan kanan bagi mengurangkan kesakitan.
Kedua-dua insiden berkenaan dirakam oleh kamera mengesan pergerakan yang dipasang di rumah tersebut.
Mahkamah diberitahu bahawa isteri lelaki itu cuba untuk menghalangnya daripada mendera bayi berkenaan, namun usahanya gagal.
Pendakwa raya berkata: “(Wanita itu) sebelum ini pernah memanggil jiran ke rumah mereka untuk menenangkan tertuduh apabila dia mula bertindak kasar terhadap (isterinya dan mangsa).”
Wanita berkenaan akhirnya membuat laporan polis terhadap lelaki itu pada Disember 2024.
Peguam Josephus Tan dan Cory Wong daripada Invictus Law Corporation, yang mewakili lelaki tersebut, menyatakan bahawa pasangan itu telah bercerai setahun kemudian, pada Disember 2025.
Kedua-dua anak perempuan lelaki itu kini berada di bawah jagaan bekas isterinya, dan dia tidak lagi berhubung dengan ketiga-tiga mereka sejak Disember 2024.
Peguam bela menyatakan bahawa anak guam mereka disahkan menghidap gangguan kemurungan utama (MDD) selepas kesalahan itu dilakukan.
Keadaan mental tersebut didapati menyumbang kepada perbuatannya pada kadar kecil hingga sederhana.
