Tiga orang dikejarkan ke hospital selepas kebakaran berlaku di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Jalan Bukit Purmei pada pagi 21 Ogos.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dalam satu catatan Facebook berkata ia dimaklumkan mengenai kebakaran di Blok 108 Bukit Purmei Road itu sekitar 2.30 pagi.
Menurut The Straits Times (ST), ruang tamu sebuah unit di tingkat 12 didapati terbakar apabila anggota bomba tiba di tempat kejadian.
SCDF memasuki unit itu secara paksa dan memadamkan api dengan pancutan air. Api hanya tertumpu di ruang tamu.
Dalam operasi memadam kebakaran, tiga orang berjaya diselamatkan dari dua bilik tidur. Mereka berada dalam keadaan sedar dan dilaporkan telah terhidu asap. Mereka kemudian dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH).
Polis dan pegawai SCDF memindahkan kira-kira 50 orang dari blok yang terjejas sebagai langkah berjaga-jaga.
Punca kebakaran masih disiasat.
Terdapat lapan kematian berkaitan kebakaran setakat ini pada 2025 - naik daripada lima pada 2024, dan tiga pada 2023, menurut statistik SCDF.
Pada awal Ogos, dua orang maut selepas kebakaran di sebuah flat di Jalan Bukit Merah. Seorang lelaki berusia 34 tahun dan seorang wanita berusia 32 tahun ditemui tidak sedarkan diri di dapur sebuah unit di tingkat empat oleh pegawai SCDF.
Mereka dibawa ke SGH tetapi kemudiannya disahkan telah meninggal dunia.
Pada petang 22 Julai, seorang lelaki dan seorang wanita ditemui tidak sedarkan diri selepas kebakaran berlaku di sebuah flat HDB di Toa Payoh.
Mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik SCDF.
Pada April, seorang budak perempuan warga Australia berusia 10 tahun maut selepas kebakaran berlaku di sebuah rumah kedai di River Valley Road.
Lagi 21 orang cedera dalam kebakaran di Sekolah Memasak Tomato itu yang menjalankan kem dan kursus memasak untuk kanak-kanak.
Pada 9 Januari, sepasang suami isteri dan anak perempuan remaja mereka maut selepas satu kebakaran di sebuah flat lima bilik di Hougang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg