Topik diikuti
Pergi ke BHku3 peruncit henti ciri palsu dalam talian untuk keliru pembeli
3 peruncit henti ciri palsu dalam talian untuk keliru pembeli
Termasuk kiraan pelawat dan adanya permintaan
3 peruncit henti ciri palsu dalam talian untuk keliru pembeli
Tiga peruncit dalam talian didapati menggunakan ciri-ciri yang mengelirukan untuk mempengaruhi pembeli, ujar pengawal selia pengguna dan persaingan Singapura.
Syarikat tersebut didapati telah menggunakan ciri yang mengelirukan seperti memaparkan kiraan pelawat laman web palsu, pemasa undur palsu dan dakwaan diskaun palsu untuk mewujudkan desakan dan permintaan palsu berkaitan produk mereka, kata Suruhanjaya Persaingan dan Pelanggan Singapura (CCS) dalam satu kenyataan pada 18 Mei.
Ketiga-tiga syarikat itu, Seager (yang mengendalikan kedai pelancongan gaya hidup, Boarding Gate), kedai tilam, Origin Sleep, dan syarikat pakaian Light In The Box, telah menghentikan amalan itu dan memberikan akur janji rasmi kepada CCS.
Di laman web Boarding Gate, mesej yang menyatakan bilangan pengguna yang melihat produk tertentu, memberi gambaran kegiatan pengguna masa nyata dan permintaan yang tinggi, kata CCS.
Setelah memeriksa kod sumber laman web, pengawal selia mendapati nombor tersebut dijana secara rawak.
Laman web itu juga mempunyai mesej yang menunjukkan bilangan pengguna yang menambah barangan ke troli mereka, tanpa sebarang bukti untuk menyokongnya.
Laman web, Origin Sleep, juga memaparkan kenyataan serupa yang menunjukkan kegiatan pengguna masa nyata.
Di samping itu, halaman pembayarannya memaparkan pemasa undur, yang menggesa pengguna untuk segera membuat tempahan dalam tempoh tertentu.
CCS berkata ini memberi semacam petanda bahawa pembelian perlu diselesaikan sebelum pemasa tamat tempoh, tetapi pada hakikatnya mesej dan pemasa tidak memberi kesan kepada ketersediaan produk atau keupayaan pengguna untuk membeli barangan tersebut.
Origin Sleep juga menjalankan apa yang kelihatan sebagai jualan terhad masa, tetapi siasatan mendapati bahawa jualan kilat ini berterusan selama hampir dua tahun, di bawah nama promosi yang berbeza
“Apa yang bermula sebagai ‘Jualan Kilat’ pada Januari, yang kononnya berlangsung hanya seminggu, kemudian bertukar menjadi ‘Jualan Hari Valentine’ pada Februari, disusuli ‘Jualan Tahun Baru Cina’, ‘Jualan Mega 3.3’ dan promosi lain,” jelas CCS.
Dalam kes peruncit pakaian Light In The Box pula, laman webnya memaparkan amaran produk hampir habis dijual untuk menunjukkan kekurangan bekalan, kata CCS.
Namun, syarikat itu menggunakan model perolehan berdasarkan tempahan, dengan produk dibuat hanya selepas pesanan diterima, dan bekalan barangan dikekalkan pada tahap minimum atau hampir tiada.
Light In The Box juga menunjukkan harga diskaun berbanding harga ‘asal’ lebih tinggi, yang tidak pernah ditawarkan, mewujudkan tanggapan palsu tentang penjimatan, tambahnya.
Ketiga-tiga peruncit itu komited untuk mengelakkan amalan perdagangan yang tidak adil pada masa hadapan.
Ketua Eksekutif CCS, Encik Alvin Koh, berkata: “CCS akan terus mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bersaing secara tidak adil demi melindungi kepercayaan pengguna dan perniagaan yang beroperasi secara jujur.”
