Awas ‘pop-up’ palsu menyamar sebagai polis di laman web
Orang ramai perlu sentiasa berwaspada terhadap penipuan pancingan data melibatkan amaran pop-up palsu yang menyamar sebagai pihak polis.
Dalam penipuan sebegini, mangsa menerima amaran pop-up yang kelihatan seolah-olah daripada polis ketika melayari laman web menggunakan komputer atau komputer riba, menurut satu kenyataan polis pada 24 Februari.
Laman web tersebut akan kelihatan tergantung dan tidak memberi maklum balas.
Amaran itu pula memaparkan logo Pasukan Polis Singapura (SPF) serta kononnya menunjukkan saman tertunggak mangsa kerana melanggar undang-undang.
Mangsa kemudian diminta memasukkan butiran kad bank untuk membayar ‘saman’ tersebut.
Kebanyakan mangsa hanya menyedari mereka ditipu selepas mendapati urus niaga atau transaksi tidak sah dilakukan menggunakan kad bank mereka itu.
Penipu mengaktifkan mod skrin penuh atau menyembunyikan kursor tetikus supaya mangsa tidak dapat menggunakan komputer seperti biasa.
Keadaan tersebut menimbulkan panik dan mendesak mangsa bertindak segera.
Mereka yang berdepan situasi sedemikian disarankan menekan ‘Ctrl+Alt+Delete’ pada papan kekunci untuk membuka fungsi ‘Task Manager’ dan menutup paksa semua aplikasi.
“SPF tidak mempunyai keupayaan untuk ‘mengunci’ atau ‘membekukan’ komputer peribadi atau komputer riba,” tegas pihak berkuasa.
Orang ramai diingatkan supaya mengabaikan sebarang amaran pop-up yang kononnya daripada polis.
Mereka yang ragu-ragu boleh menghubungi Talian Bantuan ScamShield 24/7 di 1799 untuk mengesahkan sebarang komunikasi mencurigakan.
Kerugian sebanyak hampir setengah bilion dolar akibat penipuan dicatatkan pada separuh pertama 2025.
Hampir 20,000 kes dilaporkan di Singapura, menurut statistik pertengahan tahun polis.
Penipuan penyamaran pegawai pemerintah terus menjadi kebimbangan serius.
Jumlah kes hampir meningkat tiga kali ganda, daripada 589 pada separuh pertama 2024 kepada 1,762 dalam tempoh sama 2025.
Ia merupakan satu lonjakan membimbangkan yang menuntut kewaspadaan berterusan.

