Empat orang dikejarkan ke hospital selepas kaca tingkap jatuh daripada ketinggian di pusat membeli-belah The Star Vista di Buona Vista pada pagi 20 April.
Keempat-empat mereka adalah antara enam orang yang dilaporkan tercedera dan segera dibawa ke Hospital Universiti Nasional (NUH), menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Dua daripada mereka yang cedera itu enggan dibawa ke hospital.
Pasukan itu berkata pihaknya menerima panggilan meminta bantuan sekitar 11.30 pagi.
Dalam gambar-gambar yang dikongsi dengan The Straits Times (ST) oleh pengunjung pusat beli-belah itu, kaca tingkap itu kelihatan jatuh daripada tingkat tiga pusat membeli-belah berkenaan.
Ia jatuh ke tanah di tingkat satu bersebelahan dua kedai makan, HarriAnns Nonya dan Bingz.
Seorang pengunjung, Encik Peter Hoskins, yang berada di tingkat dua pusat beli-belah itu, menyatakan beliau mendengar kekecohan dan melihat kaca pecah di atas tanah di sebelah kedai yang menjual makanan Cina, Bingz.
“Terdapat banyak serpihan kaca di atas tanah,” katanya, sambil menambah bahawa beliau berada di antara tempat kaca itu jatuh dan tempat ia terhempas.
“Beberapa kakitangan menjalankan tugas mereka, bercakap dengan jelas dan lantang dan memberitahu orang ramai supaya menjauhi kawasan itu,” kata Encik Hoskins lagi, sambil menambah bahawa beliau terlihat orang pertama tampil merawat beberapa orang yang kepala mereka berbalut di tempat kejadian.
Pusat beli-belah itu dimiliki oleh Gereja New Creation, yang menjalankan sesi gereja untuk pengunjungnya sewaktu kejadian berlaku sekitar 11.30 pagi.
ST telah menghubungi The Star Vista dan Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA) untuk mendapatkan komen dan maklumat lanjut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg