Empat lelaki dan seorang wanita didakwa melakukan jenayah mengendalikan rumah pelacuran haram, termasuk memperdaya pemilik hartanah di Geylang mengenai penggunaan sebenar premis berkenaan.
Tertuduh, kesemuanya warga Singapura, masing-masing dihadapkan dengan antara satu dengan lima pertuduhan di Mahkamah Daerah pada 6 Mei.
Polis berkata pada 5 Mei mereka adalah antara yang ditahan selepas pegawai melakukan serbuan di seluruh Singapura pada 21 Oktober 2024.
Menurut The Straits Times, Ho Seng Wee, 40 tahun, yang menghadapi empat pertuduhan, didakwa menguruskan rumah pelacuran haram dan hidup dengan bergantung kepada hasil pendapatan daripada kegiatan pelacuran antara April dengan Oktober 2024.
Menurut kertas pertuduhan, Ho – bersama Ong Zhihe Philip dan Liew Yaojie – turut menyiarkan iklan sekurang-kurangnya sembilan wanita yang menawarkan perkhidmatan seks di laman web Sammyboyforum.
Lim Shi Wei, 36 tahun, dihadapkan dengan empat pertuduhan menipu kerana didakwa menghasut orang lain supaya menyewa empat premis di kawasan Geylang, yang kemudian disalahgunakan sebagai rumah pelacuran.
Lim turut menghadapi satu pertuduhan menggunakan akaun bank milik pasangannya untuk menerima bayaran hasil melacur.
Baki tiga individu – Khah Tee Meng, 61 tahun; Lee Teck Li, 44 tahun; dan satu-satunya wanita, Loo Lay Kuan, 56 tahun – kononnya penghuni premis Geylang yang disenaraikan dalam pertuduhan Lim.
Mereka didakwa menipu pemilik hartana dengan menganggap mereka adalah penyewa sah, sambil menggunakan unit tersebut sebagai rumah pelacuran.
Atas perbuatan itu, mereka masing-masing menghadapi satu kesalahan menipu.
Loo dan Khah juga masing-masing dikenakan satu dan empat pertuduhan tambahan, bagi kesalahan berkaitan perjudian.
Kesemua lima individu dibebaskan dengan ikan jamin $15,000. Empat daripada mereka, kecuali Khah, dijangka membuat pengakuan bersalah pada Jun.
Serbuan pada Oktober 2024 dijalankan oleh pegawai polis Cawangan Jenayah Khusus dan Jabatan Siasatan Jenayah.
Polis merampas wang tunai lebih $6,000, peralatan berkaitan maksiat dan dadah terkawal.
Seramai 20 orang telah ditangkap dalam serbuan tersebut dan hasil siasatan susulan, kata polis.
Daripada kumpulan itu, lapan – termasuk mereka yang didakwa pada 6 Mei – telah dihadapkan ke mahkamah, manakala seorang wanita diberi amaran dan seorang lagi lelaki disiasat atas kesalahan berkaitan dadah.
Siasatan polis terhadap individu lain sedang dijalankan.
Kesalahan menguruskan rumah pelacuran boleh membawa hukuman maksimum – denda sehingga $100,000 dan penjara sehingga lima tahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg