Jenayah & Mahkamah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

5 kes tipu jual tiket NDP 2025 dilapor sejak 1 Julai

Jul 31, 2025 | 4:57 PM
kes tipu, tiket NDP
Mangsa hanya menyedari mereka ditipu apabila tidak menerima sebarang tiket NDP, atau apabila penipu tidak lagi dapat dihubungi. - Foto fail

Sekurang-kurangnya lima kes penipuan e-dagang membabitkan penjualan tiket Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) telah dilaporkan sejak 1 Julai lalu.

Dalam kes melibatkan kerugian berjumlah kira-kira $250, mangsa menemui penyenaraian penjualan tiket melalui wadah seperti Telegram dan Facebook, kata polis pada 31 Julai.

Apabila mangsa melahirkan minat untuk membeli tiket, mereka diarah supaya membuat pembayaran melalui PayNow, lapor The Straits Times (ST).

Mangsa menyedari mereka telah ditipu hanya apabila mereka tidak menerima sebarang tiket, atau apabila penjual tidak lagi dapat dihubungi.

Tiket NDP bukan untuk dijual, sebaliknya diedarkan secara percuma melalui sistem undian dengan menggunakan Singpass.

Penjualan semula tiket adalah dilarang sama sekali, dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang ditangkap melakukan perbuatan menjual untuk meraih keuntungan atau menggunakan tiket untuk tujuan penipuan, kata jawatankuasa eksekutif (Exco) NDP.

Tiket yang diperoleh melalui saluran yang tidak dibenarkan akan dibatalkan, dan mereka yang memegang tiket tersebut tidak akan dibenarkan masuk untuk menyaksikan NDP, tambah polis.

NDP pada 2025, sempena meraikan ulang tahun ke-60 Singapura, akan diadakan di Padang pada 9 Ogos.

E-dagang ialah antara jenis penipuan paling banyak di Singapura pada 2024, dengan 11,665 kes dilaporkan dan melibatkan kerugian sekurang-kurangnya $17.5 juta.

Orang ramai digalakkan supaya mengesahkan kesahihan penyenaraian jualan sebelum membuat pembelian, dan melaporkan kes yang mencurigakan dengan segera.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang penipuan, mereka boleh menyusuri laman web, scamshield.gov.sg atau menghubungi talian hotline ScamShield di 1799.

Dalam satu catatan Facebook NDPeeps sebelum ini, Exco NDP 2025 menyatakan mereka tidak akan sama sekali meminta orang awam atau sebarang pertubuhan untuk memberikan tajaan wang tunai, derma atau butiran peribadi melalui panggilan telefon.

Exco NDP mengambil maklum tentang penipu yang menyamar sebagai wakil NDP 2025 dan menghubungi mangsa untuk mendapatkan tajaan wang tunai serta maklumat peribadi.

Satu rakaman panggilan telefon telah dikongsi oleh Exco NDP kepada ST mengenai seorang penipu kedengaran menyamar sebagai wakil NDP 2025 dan meminta seorang lelaki untuk memberikan “tajaan kecil antara $300 dengan $500”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg