Jenayah & Mahkamah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

5 warga M’sia tipu 70 mangsa $164,000 dijel, didenda

Apr 3, 2025 | 5:53 PM
Lima lelaki warga Malaysia yang beroperasi daripada pusat penipuan di Johor Bahru, dengan setiap seorang menerima RM3,000 ($915) sebulan untuk tiga bulan pertama, sebelum jumlah itu dinaikkan kepada RM5,000 atau RM5,500.
Lima lelaki warga Malaysia yang beroperasi daripada pusat penipuan di Johor Bahru, dengan setiap seorang menerima RM3,000 ($915) sebulan untuk tiga bulan pertama, sebelum jumlah itu dinaikkan kepada RM5,000 atau RM5,500. - Foto SPF

Lima lelaki Malaysia, yang direkrut sindiket rentas sempadan di sebalik penipuan ‘panggilan rakan palsu’, dijatuhi hukuman penjara dan didenda pada 3 April.

Beroperasi dari pusat penipuan di Johor Bahru, mereka telah menyasarkan sekurang-kurangnya 70 mangsa di Singapura, yang kehilangan lebih daripada $164,000, lapor The Straits Times.

Mangsa mereka termasuk warga emas berumur antara 68 dengan 76 tahun.

Mereka menghubungi mangsa melalui mesej teks atau panggilan telefon, berpura-pura sebagai kenalan mereka sebelum meminta bantuan kewangan.

Kesemua lelaki itu mula bekerja untuk sindiket itu antara Mei dengan Ogos 2023.

Sebahagian daripada mereka bekerjasama untuk menyasar mangsa yang sama.

Salah seorang pesalah, Chua Zi Huang, 24 tahun, dipenjarakan empat tahun tujuh bulan dan didenda $12,000.

Dia menyasar paling ramai mangsa, dengan 54 individu memindahkan lebih daripada $117,000 secara keseluruhan.

Loh Chuan Sheng, 36 tahun, yang menipu 53 mangsa melibatkan sejumlah $116,560, dijatuhi hukuman penjara empat tahun empat bulan dan didenda $21,000.

Kek Yuan Chun, 20 tahun, menipu 52 mangsa yang menyerahkan $116,060 kepadanya.

Dia dijatuhi hukuman penjara empat tahun dua bulan dan didenda $9,000.

Heng Guo Hao, 27 tahun, dan Yee Kong Yao, 37 tahun, menipu 16 individu yang kerugian lebih daripada $47,000.

Kededua lelaki itu dijatuhi hukuman penjara tiga setengah tahun dengan masing-masing didenda $15,000 dan $11,000.

Kesemua lima pesalah mengaku bersalah atas tuduhan menipu pada Mac.

Pihak pendakwaan berkata lima lelaki itu berpindah ke unit kondominium di Marina Residence JB di Johor Bahru dan beroperasi di sana.

Setiap lelaki dibayar RM3,000 ($915) sebulan untuk tiga bulan pertama, sebelum jumlah itu dinaikkan kepada RM5,000 atau RM5,500.

Ini di samping ‘komisen’ 10 peratus berdasarkan hasil penipuan mereka.

Dalam prosiding awal, pihak pendakwaan berkata mereka diberikan senarai nama daripada dua kumpulan Telegram dengan setiap senarai mengandungi kira-kira 200 nama bakal mangsa dan nombor telefon mereka yang didaftarkan di Singapura.

Kesemua pesalah, yang merupakan sebahagian daripada ahli kumpulan Telegram itu, kemudiannya akan menghubungi semua bakal mangsa yang akhirnya menggigit jari.

Pada 16 Januari 2024, pihak berkuasa Malaysia yang mendapat maklumat daripada Pasukan Polis Singapura, menyerbu unit kondominium di Marina Residence JB dan menahan kelima-lima lelaki itu.

Mereka dibawa ke Singapura seminggu kemudian dan didakwa di mahkamah akhir bulan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg