Awas jika anda mendapat panggilan telefon daripada seseorang yang mendakwa bekerja untuk agensi penguatkuasaan undang-undang asing dan memerlukan bantuan anda dalam siasatan mereka.
Ia mungkin satu penipuan penyamaran.
Agensi asing sedemikian tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan di Singapura atau mengarahkan sesiapa di sini membantu siasatan mereka, kata polis Singapura pada 13 Mac, lapor The Straits Times.
Polis menambah bahawa pegawai daripada Direktorat Tadbir Urus Keselamatan Siber dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT)(CIGD) Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) tidak akan menghubungi orang awam sebagai sebahagian daripada tugas mereka.
Amaran ini dikeluarkan selepas sekurang-kurangnya $5,000 lesap kepada penipu yang menyamar sebagai pegawai daripada direktorat itu pada Mac 2025, dengan sekurang-kurangnya satu kes dilaporkan.
Dalam taktik penipuan itu, mangsa akan menerima panggilan daripada individu yang mendakwa mereka daripada CIGD, menggunakan nombor telefon tempatan tanpa awalan +65.
Mangsa akan dimaklumkan bahawa data peribadi mereka telah digunakan untuk kegiatan jenayah di Malaysia.
Panggilan itu kemudiannya dipindahkan kepada penipu kedua yang mendakwa dirinya daripada agensi penguatkuasaan undang-undang Malaysia, seperti Interpol Malaysia atau Jabatan Siasatan Jenayah.
Penipu itu akan cuba mendapatkan maklumat peribadi mangsa, termasuk butiran akaun bank, butiran peribadi, kata laluan atau kata laluan sekali guna (OTP) Singpass, atau meminta mangsa memindahkan wang ke satu akaun bank untuk membantu siasatan.
Orang awam dinasihatkan agar tidak memindahkan wang atau mendedahkan sebarang butiran peribadi kepada orang yang tidak dikenali.
Jika ragu-ragu, hubungi talian bantuan Scamshield di 1799 untuk mendapatkan kepastian.
Untuk maklumat lanjut mengenai penipuan, layari laman www.scamshield.gov.sg


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg