Topik diikuti
Pergi ke BHkuPegawai bomba sukarela realisasi impian sejak kecil selamatkan nyawa
Pegawai bomba sukarela realisasi impian sejak kecil selamatkan nyawa
Pegawai bomba sukarela realisasi impian sejak kecil selamatkan nyawa
Setiap kali siren kereta bomba bergema di kawasan kejiranannya, Encik Muhammad Azfar Mazlan yang ketika itu masih kanak-kanak lagi akan berlari ke jendela untuk melihat kereta bomba keluar dari Balai Bomba Sengkang yang terletak bertentangan flatnya.
Dalam diam, beliau menyimpan cita-cita untuk menjadi pegawai bomba yang berani menggadaikan nyawa demi menyelamatkan orang lain.
Encik Azfar kini bekerja sebagai Penolong Pegawai Bomba, di sebuah syarikat di Pulau Jurong.
Peranan beliau adalah untuk bertindak balas terhadap semua jenis kecemasan di premis syarikat, termasuk kebakaran, insiden bahan berbahaya, operasi menyelamat dan kecemasan perubatan.
Namun, khidmatnya tidak terhenti di tempat kerja.
Demi merealisasikan sepenuhnya cita-citanya dan menyumbang kepada masyarakat, beliau turut mendaftarkan diri sebagai pegawai bomba secara sukarela bersama Pasukan Pertahanan Awam (SCDF) di bawah Unit Bantuan Pertahanan Awam (CDAU).
Antara lain, beliau menyertai operasi memadam api dan menyelamat bersama anggota SCDF.
Bagi Encik Azfar, peluang berkhidmat sebagai sukarelawan bukan sekadar membantu masyarakat, malah membolehkannya menimba pengalaman dan memperkukuh kemahiran sebagai pegawai bomba.
“Pengalaman yang saya peroleh membantu saya menjadi lebih bersedia untuk melaksanakan tugas sebenar saya (Penolong Pegawai Bomba) dengan berkesan.
“Pada masa yang sama, saya dapat membantu orang ramai ketika mereka melalui saat paling sukar dalam hidup,” katanya.
Antara pengalaman yang paling meninggalkan kesan ketika beliau menyelamatkan seorang warga emas yang terperangkap dalam kebakaran sebuah flat pada 2023.
“Apa yang paling saya ingat adalah wajah lega pak cik itu apabila melihat kami datang membantu.
“Ketika itu saya sedar tugas pegawai bomba bukan sekadar memadam api, tetapi memberi harapan dan membuatkan mangsa berasa selamat ketika melalui detik yang paling mencabar dalam hidup mereka,” katanya.
Pada 5 April 2025, Encik Azfar sekali lagi berdepan detik mencemaskan apabila bertindak memecah masuk sebuah flat yang sedang dijilat api di York Hill, yang terletak di kawasan Tiong Bahru, bagi membolehkan pasukan bomba memasuki unit berkenaan dengan segera.
Mengimbau kejadian itu, beliau berkata latihan yang diterima selama ini membolehkan beliau bertindak dengan tenang walaupun berhadapan situasi berbahaya.
“Ketika itu saya tidak memikirkan soal takut.
“Tumpuan saya hanyalah untuk menjalankan tugas dengan selamat dan memastikan kebakaran dapat dikawal secepat mungkin.
“Latihan yang kami lalui membuatkan setiap tindakan dilakukan secara spontan, seolah-olah sudah sebati dalam diri,” katanya.
Sepanjang menjadi sukarelawan, Encik Azfar turut menyahut 16 panggilan sebagai petugas tindak balas pertama masyarakat atau Community First Responder (CFR).
Walaupun perlu membahagikan masa antara kerjaya, keluarga dan tugas sukarelawan, beliau percaya setiap pengorbanan berbaloi jika mampu membantu mereka yang memerlukan.
Pada 29 Julai, jasa yang disumbangkan Encik Azfar dihargai dan beliau menerima Anugerah Hari Kebangsaan Menteri Ehwal Dalam Negeri (Sukarelawan Home Team) sempena Majlis Memperingati Hari Kebangsaan di Akademi Home Team.
Mengulas mengenai pengiktirafan yang diterimanya itu, Encik Azfar berkata anugerah tersebut bukan miliknya seorang.
“Sejujurnya saya terkejut dan berasa amat berbesar hati.
“Tetapi bagi saya, anugerah ini milik setiap anggota barisan hadapan yang setiap hari tampil membantu orang lain.
“Saya hanya menerimanya bagi pihak mereka,” katanya.
Beliau berharap lebih ramai anak muda berani melangkah ke hadapan untuk berbakti kepada masyarakat.
“Tak perlu menjadi luar biasa untuk mula membantu orang lain.
“Apa yang penting ialah keikhlasan dan keberanian untuk mengambil langkah pertama,” ujar Encik Azfar.
“
“Pengalaman yang saya peroleh membantu saya menjadi lebih bersedia untuk melaksanakan tugas sebenar saya (Penolong Pegawai Bomba) dengan berkesan. Pada masa yang sama, saya dapat membantu orang ramai ketika mereka melalui saat paling sukar dalam hidup.”