Fang Weijie, bekas pelakon yang lebih dikenali sebagai Ian Fang, telah dijatuhkan hukuman penjara 40 bulan kerana melakukan kesalahan seksual terhadap seorang remaja bawah umur.
Fang, 35 tahun, mengaku bersalah pada 19 Mei, atas tiga pertuduhan tindakan seksual melibatkan remaja berusia 15 tahun itu.
Lima pertuduhan lain, termasuk kelakuan seksual ke atas gadis berkenaan, mengganggu dan menghalang keadilan, telah diambil kira semasa menjatuhkan hukuman, lapor The Straits Times (ST).
Dia akan menjalani hukumannya pada 16 Jun 2025.
Identiti Fang didedahkan di mahkamah selepas Hakim Daerah Eddy Tham menarik balik perintah melindungi identitinya, berikutan permohonan pihak pendakwa.
Hakim Tham berkata walaupun tumpuan utama perintah larangan itu adalah untuk melindungi mangsa, namun identiti Fang didedahkan bagi menghormati kehendak mangsa dan keluarganya.
Mangsa tidak boleh dinamakan kerana perintah larangan yang dikenakan mahkamah.
Dia adalah seorang pelajar berusia 15 tahun, pada masa kesalahan itu berlaku.
Dalam menjatuhkan hukuman kepada Fang, Hakim Tham, berkata:
“Sebagai seorang lelaki dewasa berusia 34 tahun, dia tahu apa yang dia lakukan. Dia tahu apa yang mungkin berlaku setiap kali dia menemui mangsa.
“Ia bukan perbuatan sekali sahaja. Dia telah mengambil kesempatan daripada kelemahan emosi mangsa.
“Cubaannya mendera mental mangsa untuk tujuan menyelamatkan dirinya sendiri, tanpa mengambil berat tentang kebajikan mangsa, juga membawa lebih banyak bahaya kepada mangsa,” jelas Hakim Tham.
Ketika itu, Fang bekerja sebagai guru lakonan di First Model School, sebuah sekolah model untuk kanak-kanak berumur antara empat dengan 14 tahun.
Sebelum ini, dia adalah seorang pelakon dengan stesen penyiar Mediacorp hingga Mei 2023.
Kali pertama Fang bertemu mangsa ialah pada satu acara hiburan pada 4 Mei 2024, dan sejak itu, mereka saling berhubungan setiap hari, kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Lynda Lee.
Antara Jun dengan Julai 2024, Fang melakukan hubungan seks dengan remaja itu sebanyak sembilan kali.
Pada 6 Jun 2024, ibu remaja tersebut telah menghantarnya ke sebuah hotel untuk dikuarantin kerana dia dijangkiti Covid-19.
Sekitar 9 malam hari itu juga, Fang bertemu mangsa di hotel dan melakukan hubungan seks dengannya – pengalaman seksual pertama remaja itu.
Kesalahan itu dilakukan berulang kali sehinggalah remaja itu berjumpa doktor selepas mengalami kesakitan di bahagian kemaluannya.
Ibu remaja itu membuat laporan polis pada Ogos 2024 selepas mengetahui anaknya telah melakukan hubungan seks dengan Fang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg