Jenayah & Mahkamah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Doktor perlu lapor kes Kpod kepada CNB, MOH dalam tempoh 7 hari

Sep 1, 2025 | 8:33 PM
Kpod, CNB, MOH
Tidak seperti mereka yang tampil dengan rela hati, pengguna Kpod boleh disiasat dan didakwa. - Foto ST

Dengan etomidate disenaraikan sebagai dadah Kelas C mulai 1 September, semua pengamal perubatan dikehendaki melaporkan pengguna yang disyaki kepada pihak berkuasa dalam tempoh tujuh hari.

Tidak seperti mereka yang tampil secara sukarela, pengguna sedemikian boleh disiasat dan didakwa, lapor The Straits Times.

Dalam kenyataannya pada 29 Ogos, Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) berkata keperluan itu berkuat kuasa mulai 1 September.

Di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA), mana-mana pengamal perubatan yang merawat seseorang yang disyaki penagih dadah perlu melaporkan suspek kepada pengarah perkhidmatan perubatan dan pengarah Biro Narkotik Pusat (CNB) dalam tempoh tujuh hari.

Akta itu menyatakan bahawa mereka perlu memberikan butiran individu yang disyaki termasuk nama, umur, alamat dan nombor kad pengenalan mereka.

Laporan itu juga boleh mengandungi kekerapan rawatan, rekod preskripsi dan gejala fizikal individu tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, pesalah vape etomidate ialah mereka yang datang dengan membawa vape atau mengaku menghisap vape, dan yang menunjukkan gejala seperti berjalan tidak stabil, kebingungan atau pertuturan yang tidak jelas.

Institusi penjagaan kesihatan telah diarahkan agar merujuk pengguna Kpod – yang datang kepada mereka untuk mendapatkan bantuan dek ketagihan – kepada program QuitVape.

Namun, jika mereka dirawat oleh pengamal perubatan berdaftar, mereka masih perlu dilaporkan kepada CNB.

Etomidate, yang sepatutnya digunakan sebagai anestetik, diklasifikasikan sebagai dadah Kelas C pada 1 September selepas ia semakin disalahgunakan melalui vape.

Kpod telah dikaitkan dengan beberapa kes kematian di sini.

Singapura telah memperkenalkan hukuman lebih berat kepada pembekal dan penyalah guna Kpod untuk menangani masalah itu.

Mulai 1 September, mereka yang mengimport Kpod berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan 15 sebatan, manakala mereka yang menjual atau mengedar Kpod boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan dikenakan lima sebatan.

Penyalah guna Kpod berusia 18 tahun ke bawah boleh dikenakan denda $500 dan $700 bagi pesalah yang berusia 18 tahun ke atas apabila mereka ditangkap buat kali pertama.

Mereka juga perlu menghadiri program pemulihan sehingga enam bulan.

Jika ditangkap kali kedua, mereka perlu menjalani program pengawasan mandatori selama enam bulan, termasuk ujian dadah dan pemulihan.

Mereka yang ditangkap kali ketiga dan seterusnya akan dimasukkan ke Pusat Pemulihan Dadah selama 12 bulan.

Mereka yang berusia 16 tahun ke bawah perlu menjalani pengawasan mandatori selama 12 bulan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg