Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki dijel, rotan simpan lebih 300 video, gambar lucah kanak-kanak

Jun 19, 2025 | 7:08 PM
Gan Qi Xuan, child pornography
Pada 19 Ogos 2024, Gan Qi Xuan, 26 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan memiliki bahan pornografi kanak-kanak. - Foto ST

Seorang lelaki yang didapati memiliki 178 video dan 153 gambar pornografi kanak-kanak dijatuhi hukuman penjara setahun sembilan bulan, serta dua sebatan pada 19 Jun.

Gan Qi Xuan, 26 tahun, sebelum ini memuat turun kandungan tersebut daripada web tertutup, atau dark web, sebelum menyusun dan menyimpannya di alat elektronik peribadi serta beberapa platform dalam talian.

Dokumen mahkamah tidak menyatakan bagaimana kesalahan itu terbongkar, namun Gan ditahan dalam satu serbuan di kediamannya pada Ogos 2023.

Pada 19 Ogos 2024, Gan mengaku bersalah atas satu tuduhan memiliki bahan pornografi kanak-kanak, lapor The Straits Times (ST).

Dalam prosiding sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Koh Yi Wen, memberitahu mahkamah bahawa Gan mula mendapat tahu tentang web tertutup itu sekitar 2015 dan menemui sebuah forum berkaitan pornografi kanak-kanak di platform itu.

Pada mulanya, dia tidak memuat turun sebarang kandungan ketika kunjungan pertamanya di platform tersebut kerana bimbang perantinya terkena virus.

Namun, rasa ingin tahunya menyebabkan dia kembali ke laman tersebut sekitar tiga bulan kemudian dan mula memuat turun video serta gambar yang mengandungi bahan yang memaparkan penganiayaan kanak-kanak.

Tidak lama selepas itu, Gan mula mengakses web tertutup secara berkala untuk memuat turun bahan pornografi, termasuk kandungan membabitkan kanak-kanak.

Dia kemudian menonton bahan yang dimuat turun sebelum menyusunnya ke dalam fail berasingan di dalam komputer ribanya. 

Apabila ruang penyimpanan tidak mencukupi, dia memindahkan semua kandungan tersebut ke akaun Google Drive miliknya.

Komputer ribanya rosak pada pertengahan 2021 dan dia menggantikannya dengan unit pemprosesan pusat (CPU) baru pada penghujung tahun tersebut.

Sepanjang tempoh itu, Gan turut membuka akaun penyimpanan awan lain untuk menyimpan bahan pornografi kerana platform tersebut menawarkan ruang simpanan percuma lebih besar berbanding Google Drive.

Tanpa memperincikan butiran lanjut, peguam bela, Encik Teo Choo Kee, memberitahu mahkamah pada 19 Jun bahawa Gan telah kehilangan tempatnya di sebuah universiti.

Encik Teo juga memaklumkan bahawa anak guamnya telah berhenti melihat bahan yang memaparkan penganiayaan kanak-kanak sejak 2021, namun masih memiliki fail tersebut ketika ditangkap.

Mahkamah turut diberitahu bahawa Gan amat menyesali perbuatannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg