Dalam satu serbuan polis di rumah seorang pemasar digital pada Mei 2022, sebanyak 285 video lucah yang melibatkan lebih 400 kanak-kanak telah ditemui.
Video itu termasuk yang memaparkan bayi lelaki di bawah umur setahun.
Siasatan mendedahkan bahawa Danial Abdul Rahman telah berkongsi kandungan sedemikian dengan orang lain melalui Twitter dan Telegram tetapi tidak menerima sebarang bayaran untuk berbuat demikian.
Pada 14 Julai, rakyat Singapura berusia 31 tahun itu telah dijatuhi hukuman penjara tiga tahun satu bulan selain empat sebatan, selepas dia mengaku bersalah memiliki bahan lucah seperti itu, lapor The Straits Times.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Benjamin Low memberitahu mahkamah bahawa pada 2017, Danial telah mengakses laman web tertutup dan memuat turun bahan pornografi kanak-kanak ke akaun Google Drive miliknya.
Dia juga menyertai pelbagai saluran di platform pemesejan Telegram yang digunakan untuk berkongsi dan mengedar bahan lucah tersebut.
Pada 2018, Danial mencipta satu akaun Twitter dan menyiarkan bahan lucah yang memaparkan lelaki dewasa terlibat dalam kegiatan seksual sesama sendiri.
Akaun tersebut kemudiannya meraih sehingga 500 pengikut.
Menurut DPP Low, beberapa pengikut Danial serta pengguna Twitter lain kemudian menghubungi Danial melalui mesej peribadi meminta bantuan memuat turun bahan lucah, termasuk yang melibatkan kanak-kanak.
Danial bersetuju berbuat demikian dan berkongsi kandungan tersebut dengan mereka, sebelum Twitter menggantung akaunnya itu pada Mei 2021.
Selepas itu, dia mula menerima permintaan berkaitan pornografi kanak-kanak daripada pelbagai pengguna Telegram.
Danial kemudian memuat turun kandungan sedemikian dan berkongsi dengan pengguna itu.
Siasatan turut mendedahkan bahawa Danial telah mengedar bahan pornografi kanak-kanak kepada pelbagai individu, termasuk sekurang-kurangnya lima pengguna melalui Twitter, selama sekurang-kurangnya empat tahun dari 2018 hingga Mac 2022.
Meskipun dokumen mahkamah tidak mendedahkan bagaimana kesalahannya terbongkar, pihak polis menyerbu kediamannya sekitar 10 pagi pada 12 Mei 2022, dan menemui 285 video lucah yang memaparkan lebih 400 kanak-kanak, termasuk bayi lelaki di bawah umur setahun.
Rakaman video-video tersebut panjangnya antara 20 saat dengan hampir dua jam.
“Sekurang-kurangnya satu video dengan jelas menunjukkan subjek kanak-kanak lelaki berkenaan menderita dan dalam kesakitan, seperti yang terbukti melalui tangisannya,” ujar DPP Low sambil menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehingga tiga tahun tiga bulan dan enam sebatan kepada Danial.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg