Gagal serah diri: Lelaki dijel kerana menyamar, mencuri
Gagal serah diri: Lelaki dijel kerana menyamar, mencuri
Seorang lelaki yang sepatutnya mula menjalani hukuman penjara pada Januari 2024 bagi kesalahan menipu dan lain-lain yang diputuskan Disember 2023, sebaliknya memilih untuk melarikan diri.
Warga Myanmar, Phyo Thaw Khant, mengulangi perbuatan salahnya dengan menyamar sebagai orang lain untuk membuka beberapa akaun bank.
Akaun-akaun tersebut kemudiannya digunakan untuk pelbagai transaksi yang keseluruhannya melebihi $60,000.
Meskipun sumber wang tersebut tidak didedahkan dalam dokumen mahkamah, penduduk tetap Singapura berusia 28 tahun itu dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan dan lima minggu pada 19 Januari.
Dia mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menipu melalui penyamaran, yang melibatkan lebih $39,600, serta satu tuduhan mencuri.
Sebanyak 14 pertuduhan lain, termasuk yang berkaitan dengan baki jumlah, turut diambil kira.
Tanpa mendedahkan butiran tentang kesalahan terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ronnie Ang, berkata bahawa Phyo telah pun dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan 10 minggu pada 21 Disember 2023.
Mahkamah telah membenarkannya untuk menangguhkan permulaan hukumannya dan mengarahkannya untuk menyerah diri pada 11 Januari 2024.
Namun, dia melarikan diri dan pada bulan berikutnya, dia membantu beberapa orang yang tidak dikenali membuka akaun bank dengan menggunakan maklumat Singpass individu lain.
Mahkamah diberitahu selepas itu, Phyo menyerahkan akaun tersebut kepada orang yang tidak dikenali.
DPP Ang memberitahu mahkamah:
“Butiran Singpass diberikan oleh orang yang tidak dikenali, yang tertuduh kemudiannya menggunakan untuk membuka akaun bank secara dalam talian.
Pada Jun 2024, seorang lelaki yang menganggotai kumpulan sembang berkaitan mata wang kripto di platform pesanan Telegram dan diminta Phyo untuk memberikan butiran Singpass miliknya supaya “akaun pelaburan mata wang kripto” dapat dibuka untuknya.
Dia melakukan seperti yang disuruh dan dua bulan kemudian, Phyo membuka akaun bank korporat atas nama syarikat yang berdaftar di bawah nama lelaki itu.
Lebih daripada $13,500 kemudian masuk ke akaun berkenaan.
Dia juga membuka dua lagi akaun bank dengan menggunakan butiran Singpass dua lelaki lain, dengan lebih $26,000 masuk menerusinya.

