Lebih ramai penduduk berpendapatan rendah akan dapat meraih manfaat daripada bantuan guaman mulai 1 Oktober, apabila had pendapatan untuk bantuan guaman bagi kes sivil dinaikkan.

Dalam satu kenyataan pada 30 September, Kementerian Undang-Undang (MinLaw) berkata had aset untuk bantuan guaman sivil dan bantuan pembelaan jenayah juga akan dinaikkan.

Had pendapatan isi rumah per kapita (PCHI) untuk bantuan guaman sivil akan dinaikkan daripada $1,050 kepada $1,650, kata MinLaw.

Ini menjadikannya selaras dengan had PCHI semasa bagi bantuan pembelaan jenayah.

Sehingga 1,000 lagi rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) dijangka mendapat manfaat setiap tahun daripada peningkatan ini, kata kementerian itu.

Menurut The Straits Times (ST), tiga kategori paling lazim bagi kes bantuan guaman sivil ialah kes melibatkan hal ehwal rumah tangga, tuntutan kewangan dan urusan wasiat.

Selain itu, bermula 1 Oktober, had simpanan bank dan pelaburan bukan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi pemohon di bawah umur 60 tahun akan dinaikkan daripada $10,000 kepada $12,000 bagi kedua-dua bantuan guaman sivil dan bantuan pembelaan jenayah.

Bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas, had tersebut akan dinaikkan daripada $40,000 kepada $42,000.

Perubahan ini, yang mula diumumkan semasa perbahasan belanjawan kementerian tersebut pada awal Mac lalu, akan membolehkan lebih banyak isi rumah mendapat manfaat daripada bantuan guaman dan meningkatkan akses kepada keadilan bagi mereka yang memerlukan, kata MinLaw lagi.

Setiausaha Parlimen Kanan bagi Undang-Undang, Encik Eric Chua, berkata semasa perbahasan tersebut bahawa langkah menaikkan had simpanan bank dan pelaburan bukan CPF akan mengambil kira peningkatan pendapatan isi rumah.

Ini bagi memastikan mereka yang benar-benar memerlukan kekal layak, tambahnya.

Untuk layak menerima bantuan guaman pemerintah, pemohon mesti lulus kedua-dua ujian kemampuan dan merit.

Kali terakhir had PCHI diselaraskan ialah pada 2022 dan 2024 untuk mengambil kira peningkatan pendapatan isi rumah dari tahun ke tahun, kata MinLaw lagi, sambil menambah bahawa ia akan terus menyemak semula had ujian kemampuan itu secara berkala.

Pemohon yang berdepan dengan hal keadaan peringan akan terus dinilai oleh sebuah panel ujian kemampuan bebas yang terdiri daripada karyawan undang-undang dan perkhidmatan sosial, kata MinLaw.

Warga Singapura dan PR yang rentan dan berpendapatan rendah boleh memohon bantuan guaman melalui Biro Bantuan Guaman (LAB) dan Pejabat Pembela Awam (PDO).