Topik diikuti
Pergi ke BHkuKlinik guaman percuma bagi penduduk Pasir Ris mulai Sep
Klinik guaman percuma bagi penduduk Pasir Ris mulai Sep
Dikendali peguam sukarelawan, klinik bantu orang ramai fahami hak sebelum masalah jadi rumit
Klinik guaman percuma bagi penduduk Pasir Ris mulai Sep
Penduduk Pasir Ris bakal menerima khidmat guaman awal dan rujukan percuma apabila sebuah klinik guaman memulakan khidmat perintisnya mulai September.
Klinik Guaman Muslim Legal Mentoring Network (MLMN), hasil kerjasama AMP Singapura dan MLMN, akan dikendalikan peguam sukarelawan.
Mengumumkan demikian semasa melancarkan edisi kedua Program Bimbingan AMP x MLMN pada 25 Julai, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, berkata klinik sedemikian memainkan peranan penting dalam membantu orang ramai memahami hak mereka, serta membuat keputusan lebih tepat sebelum isu guaman menjadi lebih rumit.
“Ramai yang tidak memerlukan peguam untuk mewakili mereka di mahkamah pada peringkat awal.
“Apa yang mereka perlukan ialah seseorang yang boleh membantu mereka memahami isu yang dihadapi dan menunjukkan saluran yang betul untuk mendapatkan bantuan,” katanya yang juga Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara).
Menurut Cik Indranee, khidmat seperti itu menjadi semakin penting apabila seseorang berdepan pelbagai isu kehidupan seperti pekerjaan, hal ehwal keluarga, penyediaan wasiat dan urusan probet, iaitu proses membuktikan secara rasmi kesahihan atau kesahan sesuatu wasiat.
“Sebahagian besar kehidupan kita dipandu oleh undang-undang dan peraturan.
“Jika kita memahaminya, kita akan dapat membuat keputusan yang lebih baik dan yang paling penting, mengelakkan daripada melakukan perkara yang salah,” ujar beliau.
Klinik Guaman MLMN akan memberi tumpuan awal kepada isu berkaitan pekerjaan seperti kontrak, pertikaian di tempat kerja dan penamatan perkhidmatan, memandangkan perkara tersebut boleh memberi kesan langsung kepada kestabilan kewangan dan mata pencarian seseorang.
Selain itu, ia turut menawarkan panduan berkaitan isu perkahwinan seperti perceraian, hak penjagaan anak dan pembahagian aset, di samping perancangan harta pusaka Islam, termasuk penyediaan wasiat dan faraid.
Perkhidmatan percuma itu terbuka kepada semua penduduk Pasir Ris tanpa mengira kaum atau agama.
Ia menetapkan had Pendapatan Per Kapita (PCI) sebanyak $2,000, iaitu lebih tinggi berbanding kebanyakan klinik guaman masyarakat, sekali gus meluaskan akses kepada lebih ramai penduduk yang layak.
Sesi konsultasi selama 20 minit akan dijalankan setiap dua minggu sama ada secara bersemuka di pejabat AMP atau dalam talian.
Klinik itu hanya menyediakan panduan awal serta rujukan kepada agensi berkaitan dan tidak menawarkan perkhidmatan penyediaan dokumen atau mewakili kes di mahkamah.
Pengasas MLMN, Encik Mohammad Rizuan, berkata pelancaran klinik itu mencerminkan perkembangan peranan rangkaian tersebut daripada sekadar membimbing bakal pengamal undang-undang kepada menyumbang secara langsung kepada masyarakat.
Encik Mohammad Rizuan, berkata: “Apabila rangkaian kami berkembang, peluang untuk menyumbang kepada masyarakat juga semakin luas.”
“Klinik Guaman ini memperkukuh kerjasama kami dengan AMP dalam menyokong kesejahteraan ekonomi masyarakat melalui panduan guaman awal yang mudah diakses, di samping menyediakan wadah bermakna untuk peguam menyumbang kembali kepada masyarakat,” tambah Encik Mohammad Rizuan.
Pada majlis yang sama, MLMN turut melancarkan edisi kedua, Program Bimbingan AMP x MLMN, susulan kejayaan pelaksanaan sulungnya pada 2025.
Program itu menawarkan bimbingan kerjaya, pendedahan serta peluang kepada para peserta untuk membina rangkaian profesional.
Program selama enam bulan itu kini diluaskan daripada 12 mentor dan 18 peserta kepada sekitar 20 mentor dan 30 peserta, selain memperkenalkan dua laluan bimbingan serta membuka penyertaan kepada pelajar possiswazah undang-undang, individu yang ingin beralih kerjaya dan mereka daripada laluan bukan tradisional.