Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pegawai penguat kuasa pantau kenderaan asing isi petrol RON95 di JB

Langkah susuli video tular wanita kereta pendaftaran S’pura isi petrol RON95 pada 21 Jan
Jan 27, 2025 | 2:07 PM
Kenderaan bernombor pendaftaran Singapura dikesan mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Johor sebelum dikesan pihak berkuasa.
Kenderaan bernombor pendaftaran Singapura dikesan mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Johor sebelum dikesan pihak berkuasa. - Foto FACEBOOK BULETIN MALAYSIA

Dengan pertambahan ribuan kenderaan bernombor pendaftaran asing dari Singapura yang dijangka memasuki Johor menjelang cuti Tahun Baru Cina ini, pihak berkuasa Malaysia menempatkan kira-kira 200 pegawai penguat kuasa di stesen minyak di serata negeri itu untuk pemantauan.

Ini bagi memastikan kenderaan bernombor pendaftaran asing yang memasuki Johor mematuhi larangan mengisi petrol bersubsidi RON95 yang dikhususkan buat warga Malaysia.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor dalam masa sama telah mengeluarkan peringatan kepada pengusaha stesen minyak supaya bertanggungjawab memastikan petrol RON95 yang diberi subsidi oleh kerajaan Malaysia tidak dijual kepada kenderaan nombor pendaftaran asing.

Tindakan menempatkan penguat kuasa di stesen minyak itu dipergiatkan selepas tular seorang wanita yang memandu kereta dengan nombor pendaftaran Singapura mengisi minyak petrol RON95 pada 21 Januari lalu.

Pengarah KPDN Johor, Cik Lilis Saslinda Pornomo, berkata hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, Johor Bahru.

Kata Cik Lilis Saslinda, cubaan wanita terbabit mengisi petrol RON95 berjaya dihalang pekerja stesen minyak itu selepas menyedari taktiknya yang cuba mengisi minyak di pam bahagian belakang.

“Tindakan pantas pekerja itu berjaya memastikan barangan bersubsidi yang dikhususkan untuk warga Malaysia tidak diseleweng. Siasatan awal mendapati pemilik kenderaan itu menggunakan kad debit untuk mengisi minyak, tetapi berjaya dihentikan pekerja stesen minyak itu,” katanya.

Cik Lilis Saslinda menambah, wanita itu hanya berjaya mengisi kurang satu liter petrol RON95, sebelum meneruskan pengisian dengan minyak petrol RON97 yang tidak disubsidi kerajaan.

Di Malaysia, pengusaha dan pemilik stesen minyak yang menjual petrol bersubsidi kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing melanggar Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang menjadi satu kesalahan.

Pengusaha stesen minyak yang bersalah melakukan kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1 juta ($307,377) atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kededuanya sekali.

Harga runcit petrol RON95 di Malaysia adalah antara yang terendah berbanding negara jiran iaitu pada kadar RM2.05 seliter, berbanding harga runcit petrol RON97 yang tidak disubsidi kerajaan Malaysia iaitu RM3.43 seliter.

Di Singapura, petrol gred yang sama berharga lebih RM9 seliter.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg