Topik diikuti
Pergi ke BHkuPlatform media sosial harus sahkan identiti pengiklan di bawah peraturan baru
Perlu sekat iklan firma kewangan tidak berlesen di S’pura
Facebook, Instagram dan TikTok perlu mengesahkan identiti pengiklan di platform mereka berdasarkan rekod pemerintah.
Mereka perlu menyekat iklan firma kewangan yang tidak berlesen di Singapura, termasuk oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) atau pihak berkuasa lain.
Ketiga-tiga platform perlu mematuhi syarat ini menjelang 31 Januari 2027, di bawah Kod Amalan bagi Khidmat Media Sosial yang diumumkan polis pada 18 Ogos.
Kegagalan mematuhinya merupakan kesalahan jenayah di bawah Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (Ocha), dengan denda sehingga $1 juta.
Perkhidmatan dalam talian yang terus tidak mematuhi peraturan boleh didenda sehingga $100,000 bagi setiap hari ketidakpatuhan selepas sabitan.
Facebook, Instagram dan TikTok menyumbang kira-kira 30 peratus kes penipuan pada 2025 dan menurut polis, menimbulkan “ancaman penipuan tertinggi kepada pengguna di Singapura”, dengan Facebook sahaja menyumbang kira-kira 18 peratus kes penipuan di sini pada 2025.
Menurut polis, kebimbangan utama ialah penggunaan iklan untuk menyasarkan mangsa.
Tiga platform itu meraih keuntungan daripada iklan yang disiarkan dan oleh itu mesti memastikan kandungannya tidak mengakibatkan jenayah, menurut polis.
Mereka mesti menghalang iklan yang disyaki berkaitan penipuan, termasuk memeriksa pautan URL yang disamarkan untuk menyembunyikan URL sebenar atau membawa kepada kandungan mencurigakan.
Platform perlu segera menurunkan iklan tersedia yang disyaki berkaitan dengan penipuan, termasuk yang dilaporkan pengguna.
Kod baru itu berasaskan kod semasa bagi perkhidmatan perhubungan dalam talian dan e-dagang di bawah OCHA.
Selepas kedua-dua kod berkuat kuasa pada 26 Jun 2024, kes penipuan dalam talian menurun kira-kira 37 peratus pada 2025 berbanding 2024, menunjukkan pentingnya langkah perlindungan awal dalam mencegah penipu yang menyasarkan pengguna di Singapura.
Bagaimanapun, penipu telah menyesuaikan taktik dan memanfaatkan teknologi seperti aplikasi perhubungan, iklan dalam talian dan persidangan video.
Tinjauan terkini Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) mendapati 84 peratus penduduk Singapura menemui kandungan bahaya dalam talian, dengan kandungan berkaitan kegiatan haram seperti penipuan paling kerap ditemui.
Pejabat OCHA polis berhubungan dengan penyedia perkhidmatan dalam talian mengenai risiko ini, sebelum membangunkan Kod Amalan baru dan mempertingkatkan kod semasa bagi menangani kesan buruk dalam talian.
Polis turut mengeluarkan Kod Amalan bagi Khidmat Pesanan dan Persidangan Dalam Talian yang menimbulkan ancaman penipuan tertinggi kepada pengguna di Singapura.
Perkhidmatan itu ialah WhatsApp, Telegram, WeChat, Apple iMessage, Apple FaceTime, Google Message dan Google Meet.
Menjelang 31 Januari 2027, perkhidmatan ini mesti mencegah kenalan tidak dikenali daripada menghubungi pengguna atau memaklumkan pengguna tentang ancaman penipuan.
Contohnya, pengguna perlu bersetuju sebelum disertakan ke dalam kumpulan sembang atau saluran oleh kenalan tidak dikenali.
Kod Amalan bagi Khidmat E-Dagang, yang meliputi Carousell, Facebook Marketplace dan Facebook Business Pages juga telah dikemas kini oleh polis.
Platform e-dagang perlu memperketat langkah sebelum membenarkan penggunaan akaun melalui peranti baru atau tidak dikenali.
Perlindungan iklan dalam Kod Media Sosial turut dilaksanakan di platform e-dagang di bawah Kod e-Dagang yang dipertingkatkan bagi melindungi pengguna daripada iklan penipuan dalam talian.
