Jenayah & Mahkamah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes tumpahan minyak terburuk di S’pura: 4 kru kapal korek Belanda didenda

Apr 2, 2025 | 5:39 PM
(Ikut putaran jam dari kiri, atas) Merijn Heidema, Eric Peijpers, Richard Ouwehand dan Martin Hans Sinke masing-masing didenda pada 2 April selepas kapal korek dengan bendera Belanda, ‘Vox Maxima’, yang melanggar kapal lain dan menyebabkan tumpahan minyak paling buruk di Singapura pada Jun 2024.
(Ikut putaran jam dari kiri, atas) Merijn Heidema, Eric Peijpers, Richard Ouwehand dan Martin Hans Sinke masing-masing didenda pada 2 April selepas kapal korek dengan bendera Belanda, ‘Vox Maxima’, yang melanggar kapal lain dan menyebabkan tumpahan minyak paling buruk di Singapura pada Jun 2024. - Foto ST

Empat lelaki Belanda, yang merupakan kru kapal korek dengan bendera Belanda, Vox Maxima, yang melanggar kapal lain dan menyebabkan tumpahan minyak paling buruk di Singapura dalam sedekad, telah dikenakan denda pada 2 April.

Menurut The Straits Times, Merijn Heidema, 26 tahun, jurutera ketiga ketika kejadian berlaku pada Jun 2024, dan Eric Peijpers, 56 tahun, jurutera kedua, masing-masing didenda $40,000.

Richard Ouwehand, 49 tahun, yang merupakan pemilik kapal Vox Maxima, dan Martin Hans Sinke, 48 tahun, ketua pegawai kapal dan bertanggungjawab terhadap pelayarannya, masing-masing didenda $20,000.

Pada 12 Mac, setiap lelaki itu mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Akta Perkapalan Dagangan 1995 dan mengaku gagal melaksanakan tugas dengan sempurna.

Vox Maxima melanggar kapal Marine Honor dengan bendera Singapura yang tidak bergerak di Terminal Pasir Panjang, menyebabkan kira-kira 400 tan bahan api melimpah ke laut.

Tumpahan minyak merebak bukan saja ke pesisiran pantai Taman East Coast, Kawasan Simpanan Alam Semula Jadi Labrador dan Sentosa, malah ke pantai di Kota Tinggi, Johor.

Dalam prosiding awal, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Regina Lim memberitahu mahkamah bahawa operasi pembersihan mengambil masa lebih dua bulan.

Marine Honor masih menjalani pembaikan yang menelan belanja lebih $6.6 juta.

Dalam kemalangan pada pagi 14 Jun 2024, pemutus litar di sebelah kanan Vox Maxima telah dibuka untuk membolehkan kerja-kerja penyenggaraan.

Pemutus litar mengawal aliran kuasa elektrik daripada penjana utama ke pengubah injak di sebelah kanan kapal.

Apabila ia berada dalam keadaan terbuka, tiada kuasa elektrik dibekalkan kepada peralatan yang disambungkan ke papan suis voltan rendah.

Pemutus litar tetap dibuka selepas kerja-kerja penyenggaraan selesai pada hari itu.

Sebelum mengambil alih tugas pada tengah hari, Peijpers dan Heidema tidak memeriksa status pemutus litar, yang menjejaskan pengagihan kuasa elektrik pada kapal.

Sebaliknya, Peijpers dan Heidema sibuk menyiapkan Vox Maxima untuk berlepas ke limbungan Tuas ST Engineering Marine.

Oleh kerana pemutus litar di bahagian kanan masih terbuka, tiada bekalan kuasa elektrik daripada penjana kanan dan dengan itu, bekalan kuasa dilakukan oleh penjana di bahagian kiri kapal.

Ini meningkatkan beban pada pemutus litar di bahagian kiri dan membawa kepada kehilangan kawalan stereng dan kapal.

Ouwehand dan Sinke, yang bertanggungjawab ke atas stereng kecemasan, gagal berbuat demikian.

Akibatnya, Vox Maxima melanggar bahagian kanan Marine Honor.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg