Topik diikuti
Pergi ke BHkuLelaki cetus kebakaran di flat Joo Seng perlu jalani perintah rawatan mandatori
Lelaki cetus kebakaran di flat Joo Seng perlu jalani perintah rawatan mandatori
Lelaki cetus kebakaran di flat Joo Seng perlu jalani perintah rawatan mandatori
Seorang lelaki yang mencetuskan kebakaran di sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Joo Seng Road sehingga menyebabkan 10 orang dikejarkan ke hospital, dikenakan Perintah Rawatan Mandatori (MTO) selama dua tahun.
Liu Zheyuan, 44 tahun, diwajibkan menjalani rawatan tersebut pada 6 Julai.
Liu sebelum ini disahkan mengalami gangguan kecelaruan semasa melakukan kesalahan berkenaan.
Individu yang dikenakan MTO mesti menjalani rawatan untuk menangani keadaan mental mereka sebagai ganti kepada hukuman penjara.
Liu mengaku bersalah pada Jun atas satu tuduhan melakukan perbuatan khianat dengan api.
Dalam prosiding sebelum ini, mahkamah diberitahu Liu mempercayai jiran-jirannya sedang menembak pancaran laser dan menghantar arus elektrik yang kuat melalui siling rumah untuk mengganggunya.
Untuk menepis ‘serangan’ tersebut, dia menyalakan arang di dalam ruang tamu sebuah unit di tingkat 18, Blok 14, Joo Seng Road, berhampiran Upper Aljunied Road, pada sekitar 9.40 malam pada 4 Mei.
Liu meletakkan periuk berisi arang itu di atas rak besi berhampiran tingkap yang terbuka dan menambah lebih banyak arang.
Langsir plastik berdekatan kemudian disambar api, lalu merebak ke seluruh unit berkenaan dan merosakkan beberapa bahagian blok HDB tersebut.
Liu, yang cuba memadamkan kebakaran tersebut namun gagal, memberitahu jiran-jirannya supaya berpindah menyelamatkan diri dan turut menghubungi Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Beberapa orang, termasuk ibu bapanya yang merupakan warga emas, mengalami sesak nafas akibat terhidu asap.
Menurut dokumen mahkamah, kebakaran itu mengakibatkan kerugian antara $80,000 dengan $100,000.
Seramai 10 orang, termasuk dua anggota bomba, dikejarkan ke Hospital Besar Singapura (SGH).
Liu ditahan reman di Institut Kesihatan Mental (IMH) selepas ditangkap polis.
