Seorang lelaki warga Malaysia diberkas selepas lebih 890 vape dan 6,700 komponen berkaitan ditemui dalam vannya di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 27 Ogos.
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata dalam catatan Facebook pada 28 Ogos, sekitar 11 pagi 27 Ogos, pegawai ICA telah mendapatkan maklumat dan mengenal pasti sebuah van berdaftar Malaysia yang mengangkut peralatan penyaman udara dan alat servis untuk pemeriksaan lanjut.
Menurut akhbar The Straits Times (ST), pegawai itu kemudian menemui vape tersembunyi di dalam kotak dalam kenderaan semasa pemeriksaan awal.
Lebih banyak vape dan komponennya kemudian ditemui di dalam unit penyaman udara dan bahagian alat penyaman udara itu, serta dalam pelbagai bahagian kenderaan berkenaan.
Unit K-9 polis telah dikerahkan untuk membantu pencarian barangan terlarang.
Vape dan bahagian berkaitan telah dirampas, dan pemandunya pula ditahan.
Kes itu telah dirujuk kepada Penguasa Sains Kesihatan (HSA) untuk siasatan lanjut.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 17 Ogos berkata dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan, pemerintah akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap vape dan menganggapnya sebagai isu dadah dengan hukuman lebih berat akan dikenakan.
Sebelum ini, ICA berkata ia telah meningkatkan pemeriksaan untuk menghalang percubaan menyeludup vape ke Singapura.
Antara 18 dengan 22 Ogos, terdapat 184 kes vape dikesan di pusat pemeriksaan udara, darat dan laut Singapura, dengan lebih 850 vape dan komponen berkaitan dirampas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg