Dalam sabitan pertama berkaitan Kpod di Singapura, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 16 bulan dan denda $400 pada 26 Ogos selepas didapati mencampurkan etomidate, dikenali sebagai Kpod, untuk dijual kepada pengguna vape.
Mohammed Akil Abdul Rahim, 41 tahun, ditangkap di flatnya di Yishun pada Disember 2024 dengan 26.4 gram serbuk putih etomidate, yang cukup untuk menghasilkan lebih 70 Kpod.
Lelaki warga Singapura itu mengaku bersalah pada 13 Ogos terhadap pelbagai pertuduhan, kebanyakannya melibatkan vape.
Dia juga mengaku membuat kenyataan palsu kepada Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), lapor The Straits Times (ST).
Pada 26 Ogos, Timbalan Ketua Hakim Daerah Ong Chin Rhu, menegaskan bahawa langkah pencegahan amat penting dalam kesalahan melibatkan etomidate.
Beliau menekankan kesan buruk akibat penyalahgunaan etomidate sangat jelas dan bahan itu telah dikesan dalam beberapa kes kematian luar biasa.
Bagi kes Akil, hakim berkata ia mempunyai unsur rentas negara dan mungkin melibatkan sindiket.
Dalam prosiding sebelum ini, Akil memberitahu penyiasat, dia telah bertemu seorang lelaki bernama ‘Joe’ di sebuah pusat membeli-belah di Johor pada Oktober 2024.
Joe menawarkan Akil untuk menghasilkan pod dicampur etomidate bagi pelanggan Singapura.
Pendakwa Penguasa Sains Kesihatan (HSA), Encik Yang Ziliang, berkata Joe akan mengatur penghantaran barangan seperti botol ‘e-cecair’, bingkai pod kosong, penutup pod dan serbuk etomidate ke rumah Akil melalui khidmat kiriman pantas.
Akil perlu mencampurkan ‘e-cecair’ dengan serbuk tersebut, kemudian mengisinya ke dalam bingkai pod kosong dan disimpan di flatnya bagi pesanan akan datang.
Bagi setiap pod yang disediakan dan diserahkan kepada pelanggan, Akil menerima upah $10.
Dokumen mahkamah menyatakan Akil bersetuju terlibat dalam rancangan itu walaupun dia sedar vape diharamkan di Singapura.
Pada awal pagi 11 Disember 2024, Akil menerima mesej daripada seseorang bernama ‘Beast’ yang ingin memesan pod.
Akil menyediakan 100 pod untuk ‘Beast’ dan memintanya menghantar seseorang untuk mengambil barang tersebut.
Sebelum 12.40 pagi pada hari tersebut, seorang penghantar mengambil beg berisi Kpod itu dan menghantarnya ke Sin Ming Drive, berhampiran Bishan Street 22.
Apabila penghantar itu mendapati beg tersebut mengandungi barangan berkaitan vape, beliau melaporkannya di Pusat Polis Kejiranan Yishun North.
Sekitar 5.30 pagi, pegawai HSA menyerbu rumah Akil dan menemui barangan berkaitan vape dan sebuah beg berisi serbuk etomidate, serta picagari.
Etomidate, yang kini dikawal di bawah Akta Racun, akan disenaraikan sebagai dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA) mulai 1 September, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, pada 24 Ogos.
Dengan penyenaraian semula itu, penyalah guna boleh berdepan hukuman lebih berat, termasuk penjara maksimum 10 tahun dan denda $20,000 bagi kesalahan memiliki atau menggunakannya secara haram.
Mereka yang mengedar dadah Kelas C pula boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan lima sebatan.
Ini berbanding hukuman maksimum dua tahun penjara dan denda $10,000 di bawah Akta Racun bagi kesalahan memiliki, menggunakan atau mengedarkannya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg