Lelaki diberkas atas dakwaan sengaja hina agama seseorang
Lelaki diberkas atas dakwaan sengaja hina agama seseorang
Seorang lelaki dihadapkan ke mahkamah pada 17 Mac atas tuduhan menghina kepercayaan agama individu lain di bawah Akta Penjagaan Keharmonian Agama.
Daniel Goh, 36 tahun, dituduh menghina kepercayaan Islam seorang wanita dengan meletakkan sekeping daging khinzir di depan pintu unit HDB mangsa serta menampal nota tulisan tangan yang berunsur menghina di pintu pagar sekitar 5.30 pagi pada 15 Mac.
Menurut kertas pertuduhan, daging khinzir dan nota tersebut dilihat oleh mangsa apabila beliau membuka pintu pagar unitnya di Tampines Street 82.
Polis dimaklumkan mengenai kejadian itu sekitar 3.40 petang pada hari yang sama.
Pegawai dari Divisyen Polis Bedok berjaya mengenal pasti identiti Goh dan memberkasnya dalam tempoh empat jam selepas laporan dibuat.
Kes Goh ditangguhkan ke 31 Mac.
Pada 27 September 2025, seorang lelaki turut didakwa atas penglibatannya dalam penghantaran satu bungkusan yang mengandungi daging khinzir ke sebuah masjid.
Bill Tan Keng Hwee, ketika itu berusia 61 tahun, didakwa dengan niat sengaja mencetuskan perasaan permusuhan antara kaum.
Dokumen mahkamah menunjukkan beliau didakwa menghantar satu sampul surat yang dialamatkan kepada Masjid Al-Istiqamah di Serangoon.
Sampul tersebut mengandungi sekeping daging khinzir dan nota bertulis ‘halal BaBi chop’.
Polis dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 24 September, dan Tan diberkas keesokan harinya.
Dalam kenyataan pada 17 Mac, SPF menegaskan mereka memandang serius sebarang perbuatan yang boleh mengancam keharmonian kaum dan agama di Singapura.
Tambah mereka: “Mana-mana individu yang membuat kenyataan atau bertindak dengan cara yang boleh menimbulkan perasaan tidak senang dan permusuhan antara kaum atau kumpulan agama di Singapura akan dikenakan tindakan tegas.”

