Seorang suspek dalam kes pembunuhan seorang wanita Indonesia berusia 38 tahun pada 24 Oktober telah dibawa semula ke lokasi kejadian pada pagi 3 Disember.
Salehuddin, 41 tahun, yang didakwa membunuh isterinya, Nurdia Rahmah Rery, tiba di Hotel Capri by Fraser China Square, berhampiran Chinatown Point, sekitar 9.15 pagi dan diiringi empat pegawai polis.
Seorang jurubahasa turut hadir semasa sesi soal siasat itu.
Di lokasi berkenaan, Salehuddin yang digari tangan dan kakinya sambil berpakaian kemeja polo merah, dibawa ke tingkat tujuh, di mana dia disoal siasat oleh pegawai penyiasat.
Hotel tersebut mempunyai 16 tingkat keseluruhannya, dengan aras tiga hingga 15 menempatkan bilik-bilik penginapan.
Media tidak diizinkan mengikuti penyiasat dan suspek ke ruang hotal. Salehuddin akhirnya dibawa keluar selepas dua jam, pada 11.15 pagi dalam sebuah van hitam tanpa tanda pengenalan.
Dua individu memberitahu Berita Harian (BH) kawasan itu lazimnya sunyi selepas tengah malam.
Satu tinjauan ringkas di sekitar lokasi tersebut turut mendapati kebanyakan premis sudah ditutup sekitar 10 malam.
Sementara itu, seorang kakitangan kedai serbaneka yang bekerja selama empat tahun di kawasan berhampiran hotel tersebut berkata rakan sekerjanya yang bertugas pada malam kejadian tidak mengesyaki apa-apa.
Ini meskipun melihat beberapa kereta polis berada di lokasi tersebut pada malam itu.
Terdapat juga beberapa gerai makan halal tidak jauh dari lokasi, iaitu sekitar 10 minit berjalan kaki dari bangunan tersebut.
Menurut kertas pertuduhan, Salehuddin didakwa menyebabkan kematian isterinya di bilik 703 hotel tersebut antara 3 dengan 5 pagi pada 24 Oktober.
Salehuddin kemudian telah berkunjung ke Pusat Polis Kejiranan (NPC) Bukit Merah East pada 7.40 pagi untuk memaklumkan kepada pegawai polis di situ dia telah membunuh isterinya.
Pegawai polis menemui wanita itu terbaring kaku di dalam bilik hotel.
Beliau disahkan meninggal dunia oleh paramedik daripada Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Hakim Daerah Tan Jen Tse telah mengarahkan agar Salehuddin ditahan untuk pemerhatian psikiatri selama tiga minggu.
Salehuddin berdepan hukuman mati jika didapati bersalah atas tuduhan membunuh.
Sepanjang 2025, tujuh kes pembunuhan dilaporkan, dengan lima daripadanya termasuk kes Salehuddin, berlaku pada separuh kedua tahun ini.
Dalam pada itu, 10 kes bunuh pula dilaporkan pada 2024, jumlah tahunan tertinggi dalam tempoh lima tahun, jelas Jabatan Perangkaan Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg