Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suspek kes bunuh Chin Swee dibawa ke lokasi kejadian

Nov 12, 2025 | 4:35 PM
Poh Choon Kiat
Poh Choon Kiat (kiri) dibawa ke sebuah unit di tingkat 19 dan ke koridor di tingkat 17 Blok 51 Chin Swee Road. - Foto ST

Suspek dalam kes pembunuhan seorang lelaki berusia 56 tahun di Chin Swee Road pada 8 November telah dibawa ke lokasi jenayah pada pagi 12 November.

Poh Choon Kiat, salah seorang daripada dua suspek yang didakwa atas pembunuhan Encik Jaganthan Arunasalam, tiba di lokasi sekitar 9.30 pagi diiringi pegawai polis, lapor The Straits Times (ST).

Poh, 59 tahun, dan Tan Boon Hui, 58 tahun, didakwa telah membunuh Encik Jaganthan, yang meninggal dunia di hospital, selepas berlaku pergaduhan di tingkat 17, Blok 51 Chin Swee Road.

Tan tidak dibawa ke lokasi jenayah kerana sedang dirawat di hospital.

Di lokasi tersebut, pegawai penyiasat menyoal Poh, yang digari pada tangan dan kaki, sebelum dibawa ke sebuah unit di tingkat 19 dan ke koridor di tingkat 17.

Kededua tingkat telah dihalang dan dijaga oleh polis.

Pegawai forensik di lokasi jenayah mengambil gambar di kededua tingkat.

Pergaduhan itu berlaku di tingkat 17 pada 8 November antara 1 pagi dengan 3 pagi.

Apabila polis tiba di lokasi, Encik Jaganthan ditemui terbaring dengan kecederaan di luar sebuah flat di tingkat 17, di mana beliau dipercayai tinggal.

Beliau tidak sedar diri ketika dibawa ke hospital.

Tan dan Poh didakwa melakukan pembunuhan pada 9 November.

Jejak kaki yang dilihat di tingkat 17 Blok 51 Chin Swee Road pada 8 November.
Jejak kaki yang dilihat di tingkat 17 Blok 51 Chin Swee Road pada 8 November. - Foto ST

Seorang lagi lelaki, berusia 36 tahun, ditangkap kerana berkelahi dan sedang membantu dalam siasatan. Dia adalah rakan kepada mangsa, menurut polis.

Tan dan Poh saling mengenali antara satu sama lain, menurut kenyataan media polis pada 8 November.

Poh juga ditangkap atas kesalahan berkaitan dadah. Dia akan dirujuk kepada Biro Narkotik Pusat (CNB).

Di Blok 51, ramai penduduk warga emas yang ingin tahu menunggu di taman berhampiran. 

Mereka bertanya kepada wartawan sama ada kehadiran polis berkaitan dengan pembunuhan baru-baru ini.

Pada sekitar 11.10 pagi, Poh akhirnya dibawa pergi dalam van hitam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg