Seorang lelaki berusia 41 tahun telah didakwa di mahkamah pada 25 Oktober atas pertuduhan membunuh seorang wanita di sebuah hotel di North Bridge Road.
Warga Indonesia, Salehuddin, dituduh membunuh seorang wanita Indonesia berusia 38 tahun, Cik Nurdia Rahmah Rery, yang dipercayai isterinya, pada 24 Oktober di Hotel Capri by Fraser China Square, lapor The Straits Times (ST).
Menurut kertas pertuduhan, Salehuddin didakwa menyebabkan kematian wanita tersebut di bilik 703 hotel tersebut antara 3 dengan 5 pagi.
Salehuddin muncul di mahkamah melalui pautan video, berpakaian kemeja polo merah, dan pertuduhannya dibacakan dalam bahasa Indonesia oleh seorang jurubahasa.
Apabila ditanya sama ada dia mempunyai apa-apa untuk dikatakan, Salehuddin ingin tahu sama ada dia boleh sebaliknya didakwa dan dijatuhkan hukuman di Indonesia.
Hakim Daerah Tan Jen Tse berkata bahawa kes itu masih di peringkat awal dan beliau tidak akan menerima sebarang permohonan pada masa ini.
Beliau juga mengarahkan agar Salehuddin ditahan untuk pemerhatian psikiatri selama tiga minggu.
Melalui jurubahasa, Salehuddin berkata: “Saya bantah, Yang Arif. Hukuman bagi kes ini adalah hukuman mati.”
Polis berkata pada 24 Oktober bahawa Salehuddin telah pergi ke Pusat Polis Kejiranan (NPC) Bukit Merah East pada 7.40 pagi untuk memaklumkan kepada pegawai bahawa dia telah membunuh isterinya.
Pegawai polis menemui wanita itu terbaring tidak bergerak di dalam bilik hotel.
Beliau disahkan meninggal dunia oleh paramedik daripada Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Salehuddin berdepan hukuman mati jika didapati bersalah atas pertuduhan membunuh.
Ini merupakan kes pembunuhan kelima yang dilaporkan pada 2025.
Pada September, seorang wanita meninggal dunia selepas diserang secara ganas akibat pertikaian berhubung aduan bunyi bising antara jiran di Yishun Central.
Suspek, seorang lelaki berusia 66 tahun, telah didakwa atas tuduhan membunuh.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg