Seorang lelaki yang disyaki menendang muka seorang wanita sehingga menyebabkan kecederaan kepala yang membawa kepada kematiannya telah didakwa di mahkamah.
Abu Talib Johari, 55 tahun, didakwa pada 4 Julai dengan satu tuduhan menyebabkan kecederaan parah dengan sengaja terhadap Cik Rupiah Buang, 59 tahun.
Abu Talib didakwa melakukan kesalahan itu antara 6 petang dengan 7 malam pada 29 Jun di sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Blok 9, Teck Whye Lane.
Dokumen pertuduhan tidak menyatakan hubungan antara Abu Talib, seorang warganegara Singapura, dengan Cik Rupiah.
Rekod mahkamah menunjukkan bahawa selepas Abu Talib didakwa, dia telah ditahan reman di Pusat Perubatan Kompleks Penjara Changi untuk pemeriksaan perubatan.
Apabila kes itu didengar semula pada 1 Ogos, seorang pendakwa polis berkata mereka telah menerima laporan daripada Institut Kesihatan Mental (IMH) berkenaan Abu Talib.
Pendakwa polis memohon supaya kes ditangguhkan selama enam minggu untuk melengkapkan siasatan.
Abu Talib juga tidak dibenarkan diikat jamin.
Menurut pendakwa tersebut, ini kerana Abu Talib disyaki melakukan kesalahan serius, yang berlaku tanpa tindakan yang mencetus amarahnya, dan menyasarkan bahagian tubuh mangsa yang terdedah.
Oleh kerana dua orang anak Abu Talib telah menyaksikan kesalahan yang disyaki itu, terdapat kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan terhadap saksi sekiranya dia dibebaskan dengan ikat jamin, tambah pihak pendakwa.
Abu Talib, yang tidak diwakili peguam, hadir ke mahkamah menerusi pautan video ketika masih ditahan reman.
Menurut akhbar The Straits Times (ST), dia kelihatan tenang ketika pendakwa sedang bercakap.
Apabila ditanya sama ada dia mempunyai apa-apa untuk dikatakan, Abu Talib bercakap melalui jurubahasa Melayu:
“Saya merayu kepada Yang Arif untuk beri sedikit kelonggaran supaya saya boleh pulang ke rumah, kerana ada banyak perkara yang perlu saya selesaikan, termasuk bil api air.”
Hakim Daerah Eugene Teo membalas:
“Semua perkara itu kini perlu ditangguhkan. Saya bersetuju dengan hujah pihak pendakwa dalam kes ini, bahawa ikat jamin tidak sepatutnya dibenarkan memandangkan sifat tuduhan ini.”
Jika disabit kesalahan kerana menyebabkan kecederaan parah dengan sengaja, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, didenda dan disebat.
Abu Talib tidak boleh disebat kerana dia berusia lebih 50 tahun.
Kesnya akan disebut semula pada 12 September.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg