Lelaki dijel 6 minggu baling cat ke pertandingan tarian singa
Lelaki dijel 6 minggu baling cat ke pertandingan tarian singa
Demi $1,500, seorang lelaki bersetuju membaling beg berisi cat merah dari tingkat enam Ngee Ann City ke Civic Plaza, tempat pertandingan tarian singa sedang rancak berjalan.
Mujur tiada sesiapa cedera dalam kejadian yang berlaku pada September 2024 itu.
Yap Seng Hin, 34 tahun, dijatuhi hukuman penjara enam minggu pada 9 Mac setelah mengaku bersalah atas tindakan cuai.
Warga Malaysia itu juga diperintahkan membayar lebih $1,000 untuk kos pembersihan, dan akan dipenjara tambahan lima hari jika gagal berbuat demikian.
Dokumen mahkamah tidak menyebut sama ada Yap menerima $1,500 yang dijanjikan.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mark Chia memberitahu mahkamah Yap telah menerima panggilan daripada individu yang tidak dikenali yang menawarkan $1,500 untuk satu ‘kerja’ di Ngee Ann City.
Sekitar 8 malam pada 6 September 2024, Yap pergi ke Pusat Makan Newton dan menaiki sebuah van yang memuatkan beg cat merah, dengan arahan membalingnya ke Civic Plaza.
Mahkamah dimaklumkan pemandu van tersebut tidak tahu menahu tentang tugas Yap pada malam tersebut.
Van itu tiba di tempat letak kereta tingkat enam Ngee Ann City sebelum 9 malam.
Yap menuju ke tingkap dan membaling dua beg cat merah ke kawasan pertandingan tarian singa sedang berlangsung ketika itu, kata DPP Chia.
“Kedua-dua beg itu jatuh berhampiran meja hakim... (dan) rakaman kamera litar tertutup (CCTV) merakam jatuhan beg-beg itu.”
Seorang penganjur pertandingan tersebut melaporkan kepada polis, dan Yap ditangkap pada 15 Oktober 2024.

