Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes langgar lari: Penjara bagi polis cuai, mangsa nahas terbiar patah tulang

Aug 15, 2025 | 6:18 PM
Bernard Tan Bee Sen, 53 tahun, tidak memberhentikan keretanya untuk membantu penunggang motosikal wanita yang mengalami patah tulang berbilang, atau multiple fractures, sebaliknya dia melarikan diri.
Bernard Tan Bee Sen, 53 tahun, tidak memberhentikan keretanya untuk membantu penunggang motosikal wanita yang mengalami patah tulang berbilang, atau multiple fractures, sebaliknya dia melarikan diri. - Foto fail

Seorang penolong superintendan polis yang mempunyai rekod kesalahan trafik termasuk memandu secara cuai dan melebihi had laju, telah memandu sebuah kereta selepas meminum alkohol pada 2023 dan melanggar seorang penunggang motosikal.

Bernard Tan Bee Sen, 53 tahun, tidak memberhentikan keretanya untuk membantu penunggang motosikal wanita yang mengalami patah tulang berbilang, sebaliknya dia melarikan diri.

Tan kemudian ditahan di rumahnya selepas pegawai Polis Trafik (TP) berjaya menjejakinya, lapor The Straits Times (ST).

Ujian nafas di ibu pejabat TP menunjukkan Tan mempunyai 78 mikrogram (mcg) alkohol bagi setiap 100 mililiter nafas – jauh melebihi had yang dibenarkan iaitu 35 mcg alkohol.

Pada 15 Ogos, Tan yang kini telah digantung tugas, dijatuhi hukuman penjara setahun dua bulan dan denda $6,000.

Dia juga hilang kelayakan untuk memegang atau mendapatkan semua lesen memandu selama tujuh tahun, bermula dari tarikh pembebasannya.

Tan mengaku bersalah atas satu pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk, menyebabkan kecederaan parah kepada penunggang motosikal kerana memandu tanpa berhati-hati, serta gagal membantu mangsa selepas kemalangan itu terjadi.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Encik Darren Ang, memaklumkan mahkamah bahawa antara 1999 dengan 2012, Tan melakukan pelbagai kesalahan trafik dan telah dikenakan kompaun.

Pada 18 Ogos 2023, selepas minum alkohol di sebuah pub di Upper Paya Lebar Road, dari 7 malam hingga 11 malam, Tan kemudian memandu pulang.

Ketika memandu sekitar 11.50 malam di Bartley Road East menuju Tampines Avenue 10, Tan hilang kawalan atas kenderaannya sehingga terbabas ke kiri, lalu melanggar penghadang konkrit.

Keretanya kemudian terbabas ke kanan dan merempuh sebuah motosikal, menyebabkan penunggang wanita berusia 28 tahun, tercampak dari motosikalnya. Tan kemudian melarikan diri.

Seorang pemandu kereta berusia 29 tahun ternampak mangsa di jalan raya dan kereta Tan yang berada sekitar 50 meter di depan tempat kemalangan.

Menurut DPP Ang, saksi mengesyaki kereta itu terlibat dalam kemalangan lalu mengekori dan mengambil gambar kereta itu selepas memastikan mangsa telah mendapat bantuan.

Saksi kemudian kembali ke lokasi kejadian, menemui penutup cermin sisi yang sepadan dengan warna kereta tersebut, dan membuat laporan polis.

Mangsa dibawa ke Hospital Besar Changi (CGH) dalam keadaan sedar, namun tulang kipas kirinya dan beberapa tulang rusuknya patah.

Beliau dirawat di hospital selama 18 hari dan diberi cuti sakit selama 163 hari.

Pada 15 Ogos, peguam bela, Encik CK Teo, memaklumkan mahkamah bahawa Tan kesal dengan perbuatannya dan ingin membuat rayuan terhadap hukumannya. 

Tan dikenakan ikat jamin sebanyak $20,000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg