Jenayah dan Mahkamah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki dijel baling botol ke tingkap bas hingga cederakan penumpang

Dec 24, 2025 | 3:07 PM
baling botol, bas 190, cedera, didakwa
Perbuatan Quztaza Kamarudin membaling botol kaca, meninggalkan lubang pada tingkap bas perkhidmatan SMRT 190 dan mencederakan seorang penumpang sehingga kelihatan tompokan darah di lantai bas tersebut. - Foto SHIN MIN

Seorang lelaki yang membaling botol kaca ke arah sebuah bas dua tingkat, mencederakan seorang penumpang wanita, dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan dan dua minggu pada 24 Disember.

Quztaza Kamarudin, 38 tahun, juga diperintahkan membayar pampasan lebih $3,000 dan jika gagal, dia perlu menjalani hukuman penjara selama 20 hari lagi, lapor The Straits Times (ST).

Dia mengaku bersalah pada 16 Disember atas setiap satu tuduhan menyebabkan kecederaan kepada wanita itu melalui tindakan terburu-buru, mencuri dan melakukan perbuatan khianat.

Dalam prosiding terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Intan Suhaily Abu Bakar memberitahu mahkamah bahawa Quztaza menaiki perkhidmatan bas 190 di Bukit Panjang sekitar 5.30 petang pada 5 Julai dan duduk di dek atas bas berkenaan.

Dia kemudian menogok soju, sejenis minuman beralkohol, sebelum bas itu sampai di perhentian bas berhampiran pusat beli-belah The Heeren di Orchard Road sekitar 6.40 petang.

Ketika hendak turun dari dek atas bas itu, Encik Lim Phang Kai, 60 tahun dan isterinya yang berusia 57 tahun, menghalang laluannya.

Quztaza dan Encik Lim bertengkar dan kedua-dua lelaki itu saling mengeluarkan kata-kata kesat.

Quztaza kemudian turun sementara pasangan itu mengambil tempat duduk di dek atas bas, dengan isteri Encik Lim duduk di sebelah tingkap.

Apabila bas berhenti di lampu isyarat berdekatan, Quztaza berjalan melepasi kenderaan itu, memerhatikan Encik Lim.

Dokumen mahkamah menyatakan dia kemudian melihat Encik Lim menunjukkan isyarat tangan lucah kepadanya.

DPP Intan berkata: “Marah dengan tindakan Encik Lim, tertuduh melempar botol soju ke arah tingkap tempat Encik Lim duduk.”

Botol itu memecahkan tingkap dan mengenai pipi isteri Encik Lim di sebelah kiri.

Encik Lim memaklumkan perkara itu kepada polis.

Isterinya kemudian dibawa ke hospital dan beliau menerima jahitan pada lukanya.

Beliau kemudiannya dibenarkan pulang dan diberi cuti sakit selama lima hari.

Quztaza diberkas pada 8 Julai selepas dia dikenal pasti melakukan kesalahan itu.

Dia didakwa di mahkamah keesokan harinya.

Namun, dia melakukan kesalahan lain semasa dibebaskan dengan ikat jamin iaitu mencuri dari sebuah kedai serbaneka berhampiran Boat Quay.

Dia memasuki kedai berkenaan sekitar 1.30 pagi pada 26 Julai untuk membeli makanan dan ternampak sebotol wiski bernilai $78 di atas rak.

DPP Intan berkata: “Tertuduh berasa tertekan dan ingin minum alkohol untuk melegakan tekanannya.

Quztaza memasukkan botol wiski itu ke dalam poketnya dan keluar dari kedai itu tanpa membayarnya.

Seorang pengurus di kedai itu kemudian memeriksa rakaman litar tertutup (CCTV) dan mengesyaki Quztaza telah mencurinya.

Dia diberkas polis tidak lama kemudian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg