Topic followed successfully
Go to BHkuLelaki dijel kerana anggotai sindiket kawal 100 akaun bank libatkan aliran lebih $4j
Lelaki dijel kerana anggotai sindiket kawal 100 akaun bank libatkan aliran lebih $4j
Lelaki dijel kerana anggotai sindiket kawal 100 akaun bank libatkan aliran lebih $4j
Seorang lelaki bekerja untuk sindiket jenayah rentas sempadan bagi membolehkan kumpulan itu mengawal 100 akaun bank yang baru dibuka di tujuh bank Singapura.
Lebih $4.3 juta mengalir melalui akaun-akaun tersebut, dengan $22,230 daripadanya dikesan berkaitan dengan kes penipuan yang dilaporkan di sini.
Menurut The Straits Times (ST), Besmond Huan Yu Kang, 24 tahun, menerima sejumlah RM18,300 ($5,900) atas peranannya dalam sindiket tersebut.
Pada 6 Mei, dia dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun empat bulan dan denda $5,400.
Warga Malaysia itu perlu menghabiskan penjara sebulan lagi jika gagal membayar denda tersebut.
Dia mengaku salah atas lapan pertuduhan, termasuk menipu dan menyalahgunakan sistem komputer. Lagi 25 pertuduhan lain diambil dalam pertimbangan.
Polis Singapura dan Malaysia berjaya menumpaskan sindiket yang berpangkalan di Johor itu, dengan 12 rakyat Malaysia, termasuk Huan dan Tan Kang Yung, telah diberkas pada 9 Ogos 2024.
Pada Disember 2025, Tan, yang ketika itu berusia 35 tahun, dijatuhkan hukuman penjara lima tahun 10 bulan dan denda $2,000.
Satu lagi kes yang melibatkan seorang rakan subahatnya, Yew Chee Sian, warga Malaysia berusia 38 tahun, masih disiasat.
Isteri Yew, Angeline Chan Sze Sze, 38 tahun, yang juga seorang lagi rakan subahat, masih bebas.
Huan berada di Malaysia pada November 2023 apabila dia diperkenalkan kepada seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai ‘Ah Wei’.
Huan menerima pekerjaan yang ditawarkan Ah Wei untuk membuka dan menyerahkan akaun bank Singapura kepada sindiket itu.
Dia dijanjikan RM300 sebulan untuk setiap akaun yang dibuka dan diserahkan.
Pendakwa raya berkata: “Apabila dia bertanya kepada Ah Wei dan (Angeline Chan)... mereka memaklumkan kepadanya bahawa akaun bank itu tidak digunakan untuk penipuan.”
Ah Wei memohon permit kerja Singapura untuk Huan supaya dia boleh membuka akaun bank di pelbagai bank di Singapura.
Huan membuka lima akaun bank atas namanya sendiri dan kemudian menyerahkan kepada Ah Wei kad ATM dan kata laluan dua daripada akaun tersebut.
Ah Wei sebaliknya menyerahkannya kepada sindiket tersebut, yang seterusnya memberikannya kepada orang yang tidak dikenali untuk tujuan haram seperti penipuan.
