Kes penipuan siber susut bagi 2025, tapi jenayah samar pegawai pemerintah naik
Kes penipuan siber susut bagi 2025, tapi jenayah samar pegawai pemerintah naik
Kadar kes penipuan susut 27.6 peratus buat kali pertama setelah lebih lima tahun trend meningkat
Jumlah kes penipuan dan jenayah siber merosot sebanyak 24.8 peratus kepada 41,974 kes pada 2025, berbanding 55,810 pada 2024.
Ini kali pertama setelah lebih lima tahun melalui peningkatan, kes penipuan menurun sebanyak 27.6 peratus kepada 37,308 pada 2025, berbanding 51,501 pada 2024.
Kerugian akibat penipuan juga susut sebanyak 17.9 peratus kepada sekitar $913.1 juta pada 2025, berbanding kira-kira $1.11 bilion pada 2024.
Perangkaan ini diumumkan oleh SPF dalam laporan tahunan penipuan dan jenayah siber yang dikeluarkan pada 25 Februari.
Dalam laporan itu, polis menyatakan langkah pencegahan serta pendidikan awam berjaya menyekat operasi jenayah penipuan.
Namun, polis menekankan bahawa “situasi masih sangat membimbangkan”.
Antara jenis penipuan utama bagi 2025 adalah menyamar sebagai pegawai pemerintah, yang meningkat lebih dua kali ganda pada 2025.
Ia juga tersenarai dalam lima jenis penipuan teratas, bersama penipuan e-dagang, pancingan data (phishing), pekerjaan, pelaburan.
Menyentuh kadar kes penipuan bagi 2025, Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming berkata:
“Penurunan jumlah kes penipuan dan kerugian wang antara 2024 dan 2025 mencerminkan keberkesanan langkah-langkah untuk mencegah penipuan serta kerjasama erat antara pemerintah, sektor swasta, komuniti dan individu.
“Namun, perjuangan ini masih belum selesai. Penipuan kekal sebagai jenis jenayah paling berleluasa di Singapura, dan kadar keseluruhan kes masih tinggi.”
Beliau menambah bahawa penipu terus menyesuaikan taktik mereka dan akan mengambil kesempatan terhadap kelemahan baru.
Lebih merisaukan ialah peningkatan mendadak kes penipuan menyamar sebagai pegawai pemerintah, melonjak 123.6 peratus kepada 3,363 pada 2025, berbanding 1,504 pada 2024.
Kerugian akibat jenis penipuan ini juga naik 60.5 peratus, daripada sekitar $151.3 juta pada 2024 kepada $242.9 juta pada 2025.
Menurut laporan polis, penipu lazimnya meniru identiti pegawai pemerintah tempatan, pegawai syarikat perbankan atau institusi kewangan dan pegawai pemerintah dari Cina.
Melalui panggilan atau WhatsApp, penipu akan mengumpan mangsa memindahkan wang kepada akaun penipu, atas sebab ‘siasatan’.
Mengulas lebih lanjut pertanyaan Berita Harian (BH), polis mendedahkan:
“Penipu menggunakan pelbagai taktik untuk memperdaya mangsa, mengambil kesempatan atas kepercayaan mangsa dan kebiasaan mereka mematuhi pihak berkuasa.”
“Mereka menakutkan mangsa, mendesak penyelesaian segera tanpa sempat mangsa meneliti situasi dengan cermat.”
Tambah polis, penipu juga sentiasa mengubah taktik bagi mengelak daripada jerat langkah pencegahan pemerintah.
Sungguhpun polis melancarkan pelbagai inisiatif, mereka mendapati trend baharu di mana mangsa terpedaya menyerahkan wang, jongkong emas, atau barang berharga secara bersemuka kepada ‘keldai akaun’.
Selain itu, mangsa sering didorong untuk memasukkan wang kepada akaun khidmat bayaran, seperti YouTrip dan pembayaran kripto, untuk dilarikan oleh penipu.
“Sebahagian besar mangsa jenayah ini, iaitu 34 peratus, adalah warga emas berusia 65 tahun ke atas,” tambah polis.
Dalam pada itu, kes penipuan e-dagang, pancingan data, pekerjaan dan panggilan rakan palsu menunjukkan kemerosotan.
Data SPF juga mendedahkan orang dewasa berusia 30 hingga 49 tahun membentuk jumlah terbesar mangsa penipuan, iaitu sebanyak 36.1 peratus.
Namun, warga emas berusia 65 tahun dan ke atas, berdasarkan kiraan purata, paling banyak kehilangan wang apabila ditipu. Kebanyakan daripada mereka menjadi mangsa kepada penipuan pelaburan, menyamar sebagai pegawai pemerintah dan pancingan data.
Polis turut menekan, dalam 81.8 peratus kes, mangsa dipengeruhi oleh penipu untuk memindahkan wang.
Kebanyakan kes penipuan berlaku melalui wadah media sosial, kaedah pesanan, panggilan dan platform membeli-belah dalam talian.
Sebanyak 84.1 peratus kes penipuan dilakukan melalui platform seperti Facebook, WhatsApp, TikTok, Instagram, Telegram, Carousell, Shopee dan selainnya.
Namun, terdapat penurunan 36.5 peratus bagi kes penipuan melalui platform-platform tersebut, susulan penguatkuasaan Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (OCHA).
Secara am, jawatankuasa OCHA bekerjasama dengan platform dalam talian yang didapati berisiko lebih tinggi terhadap kes penipuan, untuk menyediakan sistem atau langkah bagi menangani aktiviti penipuan.
Selain OCHA, SPF turut menggariskan kerjasama dengan agensi pemerintah dan pihak berkepentingan sektor swasta untuk terus membanteras isu penipuan.
Mengulas lanjut, Pengarah (Lantik) Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD), Cik Peggy Pao, berkata kerjasama itu penting bagi “menangani penipuan dengan lebih pantas dan tegas, serta mencegah penipuan pada masa hadapan”.
Beliau menampilkan Pasukan Anti-Penipuan (ASCom), yang telah berjaya memulih kerugian sekitar $140.5 juta daripada kes penipuan, serta menghindarkan potensi kerugian sebanyak $348 juta.
“Kami akan terus memperkukuhkan strategi serta menyesuaikan pertahanan kami mengikuti perkembangan taktik penipu,” tambahnya.
Sebagai contoh, Cik Pao merujuk kepada hukuman sebat yang wajib bagi penipu dan anggota sindiket yang diperkenalkan pada Disember 2025, serta langkah menyekat akses keldai penipuan kepada perkhidmatan perbankan dan talian mudah alih yang baru.
Jalinan ini juga berjaya menghalang lebih 105,000 talian mudah alih berkaitan penipuan pada 2025, serta menyekat operasi 801 keldai kad SIM dan 550 keldai wang.
Mengenai keldai wang, SPF berkata:
“Bagi 2025, lebih 7,000 keldai akaun dan penipu yang disyaki terlibat dalam kes penipuan telah disiasat, dan lebih 940 individu telah didakwa oleh SPF setakat ini.”
Usaha yang lain termasuk Akta Peliharaan Daripada Penipuan yang dikuatkuasakan pada Julai 2025. Sebanyak 12 Perintah Larangan dikeluarkan untuk melindungi mangsa penipuan yang terus dipengaruhi, walaupun sudah dinasihat oleh pihak polis.

