Topik diikuti
Pergi ke BHkuLelaki dipenjara 32 minggu kerana rekayasa 73 kemalangan jalan raya demi wang tunai
Lelaki dipenjara 32 minggu kerana rekayasa 73 kemalangan jalan raya demi wang tunai
Lelaki dipenjara 32 minggu kerana rekayasa 73 kemalangan jalan raya demi wang tunai
Demi membiayai gaya hidup mewah, seorang lelaki berusia 28 tahun, Danial Ali Liaqat Ali, sanggup merekayasa sekurang-kurangnya 73 kemalangan jalan raya antara September 2019 hingga Januari 2024.
Modus operandinya melibatkan pemerasan wang tunai daripada pemandu yang tidak bersalah.
Pada 5 Jun, dia dijatuhi hukuman penjara 32 minggu dan denda $6,000, selain hilang kelayakan memandu selama 48 bulan selepas tempoh pemenjaraan.
Danial mengaku bersalah atas 12 pertuduhan, termasuk menipu serta memandu secara berbahaya dan tidak bertimbang rasa, dengan 25 pertuduhan lagi diambil kira.
Di jalan raya, dia sentiasa mencari mangsa dengan memandu secara melulu, sengaja tidak membrek atau memecut ke arah kenderaan lain, bagi memaksa perlanggaran di bahagian sisi sebelum menuntut bayaran ganti rugi secara tunai.
Setiap kali, dia akan menghampiri mangsa dan menuntut bayaran tunai antara $180 hingga $1,500. Jumlah keseluruhan wang yang diraih daripada penipuan ini bagaimanapun tidak didedahkan.
Pada 19 Julai 2023, Danial menunjukkan belangnya di persimpangan Jalan Cantonment dan Jalan Keppel. Dia memandu secara agresif, mengekori rapat kenderaan lain sebelum sengaja memberi ruang untuk mereka menukar lorong. Sebaik sahaja mangsa, Yusoff, cuba masuk ke lorong kanan, Danial bertindak meluru ke depan, walaupun tiada perlanggaran berlaku.
Selesai di simpang tersebut, dia mengekori Yusoff dan mengarahkannya berhenti di bahu jalan. Dengan bersahaja, dia menuduh Yusoff melanggar keretanya dan menuntut ‘ganti rugi’ sebanyak $180, yang segera dibayar mangsa kerana terpedaya.
Keesokan harinya, taktik yang sama diulangi di Sims Avenue terhadap seorang lagi mangsa, Tay, yang terpaksa membayar $300.
Pada 5 November 2023 di Geylang Road, Danial sekali lagi melancarkan taktik liciknya. Dia sengaja mengekori sebuah kenderaan yang sedang menukar lorong, lalu memotong dan melanggar cermin sisi mangsa ketika pemandu tersebut memperlahankan kenderaan. Dia menyalahkan mangsa dan menuntut wang “ganti rugi” sebanyak $300.
Selain itu, Danial didapati gagal melaporkan 29 kemalangan jalan raya kepada polis antara 31 Mac 2023 hingga 2 Januari 2024.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Hidayat Amir menekankan bahawa tindakan melulu Danial bukan sahaja merugikan mangsa, malah sengaja membahayakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain, sekali gus menjadi faktor yang memberatkan hukuman beliau.
