Dalam masa kira-kira tiga jam, seorang lelaki didakwa di mahkamah kerana mencuri barangan bernilai lebih $1,800 – termasuk alat tulis, coklat dan barang kemas – dari lima kedai di ruang transit Terminal 3, Lapangan Terbang Changi.
Menurut The Straits Times, warga India Singh Sagar, 37 tahun, dikenakan lima pertuduhan mencuri pada 7 April.
Dia didakwa melakukan jenayah itu pada 23 Mac, antara 2 petang dengan 4.50 petang, bermula di kedai buku WH Smith.
Di kedai itu, dia dikatakan mencuri barangan termasuk tiga set alat tulis dan power bank berharga lebih $550.
Dia kemudian ke kedai gula-gula The Cocoa Trees, kedai cenderamata Discover Singapore, kedai mainan Kaboom dan kedai pakaian dalam Victoria’s Secret.
Di kedai-kedai tersebut, dia didakwa mencuri barang termasuk empat kotak coklat bernilai lebih $238, beberapa kotak barang perhiasan peribadi, kemeja-T dan jam tangan, dan beg tangan bernilai $135.
Dalam satu kenyataan pada 6 April, polis berkata pegawai kemudian menahan dan menghalangnya daripada meninggalkan Singapura.
Dia dijangka membuat pengakuan bersalah pada 25 Mei.
Ini merupakan kes kecurian kedua yang dilaporkan di Lapangan Terbang Changi sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Raj Varsha, 35 tahun, seorang warga Australia, dituduh pada 4 April dengan kesalahan mencuri – dua tahun selepas dia melakukan kesalahan itu.
Pada Mac 2023, dia meninggalkan Singapura dalam penerbangan selepas didakwa mencuri sebotol minyak wangi Chanel bernilai $248 daripada sebuah kedai di ruangan transit berlepas Terminal 1 Lapangan Terbang Changi.
Raj ditangkap ketika dia kembali ke Singapura pada 31 Mac 2025.
Pada Disember 2023, seorang lelaki dalam penerbangan Scoot dari bandar Ho Chi Minh ke Singapura, mengambil beg kepunyaan penumpang lain dari ruang simpan barangan di bahagian atas kepala penumpang, membawanya kembali ke tempat duduk sebelum mengambil wang dari beg itu.
Pada 12 Januari 2024, Zhang Xiuqiang, warga China itu, 52 tahun, dijatuhi hukuman penjara lapan bulan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg