Topic followed successfully
Go to BHkuLelaki S’pura ditahan di Jepun dek perbuatan tidak senonoh pada remaja
Lelaki S’pura ditahan di Jepun dek perbuatan tidak senonoh pada remaja
Lelaki S’pura ditahan di Jepun dek perbuatan tidak senonoh pada remaja
Seorang lelaki warga Singapura berusia 55 tahun telah ditahan di Jepun atas dakwaan melakukan perbuatan tidak senonoh.
Demikian dinyatakan jurucakap Ibu Pejabat Polis Wilayah Niigata, lapor The Straits Times (ST).
Suspek, yang tidak dinamakan, didakwa melakukan perbuatan tersebut melibatkan seorang remaja lelaki bawah umur – 18 tahun – di sebuah penginapan ‘onsen’ (kolam mandian air panas) di wilayah Niigata, Jepun.
Menurut laporan media tempatan, lelaki Singapura itu disyaki menyentuh remaja tersebut beberapa kali tanpa kerelaannya, termasuk di kemaluannya.
Kejadian itu dilaporkan berlaku antara 4 dengan 5 petang pada 14 Mei di sebuah ‘onsen’ di bandar Tagami, Niigata, lapor agensi berita Niigata News.
Suspek ditahan di stesen kereta api Niigata sekitar 9.30 malam pada 16 Mei.
Sehari sebelumnya, individu yang berkaitan dengan mangsa lelaki tersebut telah membuat laporan polis.
Suspek dilaporkan sedang bercuti di sana dan telah menafikan tuduhan tersebut.
“Saya hanya meletakkan tangan saya di bahu kiri budak lelaki yang sedang duduk itu untuk keluar dari kolam mandi.
“Saya tidak melakukan sebarang perbuatan tidak senonoh,” katanya kepada polis.
Siasatan polis masih dijalankan.
Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) telah dihubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Dalam kes terdahulu yang melibatkan kesalahan rakyat Singapura di rumah mandi awam Jepun, bekas diplomat, Sim Siong Chye, telah disabit kesalahan pada 2024 kerana merakam video seorang budak lelaki dalam keadaan bogel di rumah mandi awam di Tokyo.
Beliau telah dipecat oleh MFA pada April 2024 selepas didenda 300,000 yen ($2,700) oleh mahkamah di Tokyo.

