Seorang pemungut derma sambilan menerima kira-kira $45,000 daripada harta pusaka mendiang bapa angkatnya, tetapi akhirnya berhutang selepas mengunjungi tempat hiburan malam kira-kira empat kali seminggu.
Yong Chun Hong, yang membelanjakan sekitar $1,000 bagi setiap lawatan, mengambil pinjaman daripada pemiutang wang tanpa lesen dan mendesak ibu angkatnya yang sudah tua agar menjual rumahnya bagi menyelesaikan masalah kewangannya.
Menurut The Straits Times, mereka bergaduh selepas wanita berusia 78 tahun itu berkata beliau tidak dapat menolongnya.
Yong kemudian dengan kuat menekap bantal ke muka ibu angkatnya, tetapi wanita itu berjaya menepisnya.
Lelaki warga Singapura berusia 36 tahun itu dijatuhi hukuman penjara empat tahun dua bulan pada 16 April, selepas dia mengaku salah atas tuduhan yang diringankan, iaitu melakukan perbuatan yang membahayakan nyawa manusia.
Dia boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan didenda.
Awalnya, Yong dituduh cuba membunuh ibu angkatnya, tuduhan yang membawa pada hukuman maksimum penjara seumur hidup dan rotan.
Individu yang didapati bersalah juga boleh dipenjara hingga 20 tahun dan didenda atau dirotan, atau kededuanya sekali.
Dalam dokumen mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Eunice Chew dan Shaun Lim, berkata Yong diambil sebagai anak angkat pada 1991 ketika dia berumur dua tahun.
Dia menerima kira-kira $45,000 daripada harta pusaka selepas bapa angkatnya meninggal dunia pada 15 Ogos 2023.
Yong mula mengunjungi kelab malam yang dipanggil Club Axis dan memberikan tip besar sehingga $1,000 kepada artis wanita di kelab itu.
Dia juga menghabiskan wang untuk artis wanita bernama ‘Baby’ dengan “menggantung bunga” pada ‘Baby’ dengan setiap kalungan sering mempunyai tanda harga – satu kebiasaan di sesetengah kelab malam bagi pelanggan memberi penghargaan kepada penghibur di kelab itu.
Club Axis membenarkan Yong “menggantung bunga” secara kredit dan menjelang 20 Disember 2023, dia berhutang kepada kelab malam itu $30,000 – satu jumlah yang tidak mampu dibayarnya.
Dia sebaliknya berpaling kepada ibu angkatnya yang cuba mendapatkan pinjaman daripada rakan dan saudara-mara, namun, mereka enggan membantu.
Mahkamah diberitahu Yong kemudian meminjam $4,500 daripada pemiutang wang tanpa lesen.
Menurut DPP, dia menjadi semakin terdesak apabila hutangnya menimbun dan sering meminta ibu angkatnya membantu menyelesaikan hutangnya termasuk menjual flatnya di Serangoon.
Ketika mangsa mengantuk, pada petang 16 Januari 2024, Yong dengan kuat menekap bantal pada muka ibu angkatnya itu.
Namun, mangsa berjaya menolaknya dan Yong sebak memohon ampun apabila dia menyedari kesilapannya.
Mangsa telah memberitahu doktor tentang kejadian itu ketika beliau berkunjung ke poliklinik pada 18 Januari 2024 untuk mendapatkan preskripsinya bagi keadaan yang tidak didedahkan.
Polis lalu dimaklumkan dan Yong ditangkap empat hari kemudian.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg